t>

Breaking News

Murid Tahun 2 Pula Dipatuk Ular Selepas Insiden Di Kelantan.

Tindakan pantas guru di Sekolah Kebangsaan (SK) Chembong berjaya menyelamatkan nyawa seorang murid perempuan tahun dua yang dipercayai dipatuk ular, ketika berlari di padang sekolah itu, semalam.
Murid itu yang dalam keadaan stabil, kini ditempatkan di zon merah Hospital Tuanku Jaafar (HTJ), Seremban.
Kanak-kanak berusia 8 tahun itu dipercayai dipatuk seekor ular berwarna hitam, ketika beliau berlari mengelilingi padang dalam sesi memanaskan badan untuk kelas Pendidikan Jasmani, kira-kira jam 9.40 pagi semalam.
Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan, Rusni Ab Jalil ketika dihubungi akhbar Sinar Harian berkata, Pegawai Pendidikan Daerah Rembau, Rodiah Mohd Jan telah melaporkan insiden itu kepadanya, sejurus dimaklumkan sekolah terbabit.
Beliau berkata, pegawai terbabit telah menziarah mangsa di hospital dan pihaknya sedang menunggu laporan penuh Pejabat Pendidikan Daerah.
“Berdasarkan laporan awal, murid itu terjatuh di padang dan rakan-rakannya ternampak seekor ular berwarna hitam dekat mangsa. Namun, gurunya yang tidak nampak sebarang ular hitam, segera bertanyakan murid itu ada rasa sakit atau tidak,” katanya.
Menurutnya, murid itu memaklumkan beliau tidak merasa sakit dan tidak sedar ada ular berdekatannya, ketika beliau terjatuh.
Bagaimanapun, guru terbabit segera membawa mangsa ke Klinik Kesihatan Rembau, sejurus menyedari perubahan pada wajah murid itu.
“Dalam perjalanan ke klinik, guru itu memaklumkan perkara berkenaan kepada keluarga mangsa dan setibanya di klinik kesihatan, guru itu memberitahu mangsa mungkin dipatuk ular.
“Pihak klinik segera mengejarkan murid itu ke Hospital Tuanku Jaafar dengan ambulans. Pihak hospital mengesahkan ada kesan gigitan yang dipercayai patukan ular di bawah lutut kanan murid itu,” katanya.
Susulan insiden itu, beberapa mesej tersebar dalam aplikasi WhatsApp yang meminta guru peka terhadap keadaan persekitaran, bagi mengelakkan insiden sama berulang serta kemungkinan insiden itu berpunca daripada keadaan cuaca panas yang menyebabkan ular keluar mencari kawasan lembab.
Ini adalah kes kedua murid dipatuk ular, selepas insiden pertama yang meragut nyawa seorang murid tahun satu Sekolah Kebangsaan Datuk Hashim 1, di Pengkalan Chepa.
Nuri Nadirah Ruslan, 7, menghembuskan nafas terakhirnya, ketika menerima rawatan di Klinik Kesihatan Pengkalan Chepa pada jam 10.30 pagi kelmarin.
Beliau dipercayai dipatuk seekor ular, ketika bermain di luar kelasnya. - FMT