t>

Breaking News

Cadang Cukai Untuk Peniaga Online - MOF.

Kementerian Kewangan (MOF) sedang mengkaji kemungkinan untuk mengenakan cukai ke atas perniagaan dalam talian pada tahun depan, sejajar kepesatan perkembangan sektor berasaskan Internet di negara ini.
Sehubungan itu, Ketua Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah berkata MOF sudah mengarahkan pihak Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) melakukan kajian terperinci mengenai perkara itu.
Malah, katanya, LHDN yang menubuhkan Bahagian Perniagaan dan Perdagangan Dalam Talian, turut bekerjasama dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) bagi tujuan itu.
“Kita perlu mengenakan cukai terhadap mereka yang memperoleh pendapatan boleh dicukai.
“Jika tidak, ia hanya menyebabkan kerugian kepada kerajaan yang kehilangan hasil ketika semakin banyak syarikat perniagaan beralih kepada ekonomi digital,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan ucaptama di Forum Sektor Awam – Pembaharuan Kewangan Bagi Pembangunan Ekonomi Asia, di sini, hari ini.
Irwan berkata pihaknya juga berhasrat memastikan syarikat perniagaan dalam talian untuk berdaftar dengan SSM.
“Ini bagi membolehkan kita mengetahui jumlah pendapatan yang diperoleh,” katanya.
Menurutnya, kajian Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) menunjukkan pendapatan pemandu teksi/kenderaan perkhidmatan Uber dan Grab boleh mencecah sehingga RM7,000 sebulan iaitu angka yang boleh dikenakan cukai.
Pendapatan bulanan boleh dicukai ketika ini adalah sekitar RM3,000 hingga RM4,000.
Terdahulu, ketika berucap, Irwan berkata kerajaan kekal komited kepada inisiatif pengukuhan fiskal dalam usaha memantapkan kedudukan kewangan serta bagi mencapai sasaran bajet seimbang pada 2020.
Beliau turut menyuarakan rasa optimisnya bahawa hutang kerajaan dapat berada di paras kurang 55% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
“Kita berharap dapat merendahkan lagi paras itu kepada kurang 50% menerusi langkah pengurangan pembaziran serta perbelanjaan secara berhemat, namun ini pastinya akan memakan masa,” katanya.
— BERNAMA