Wanita Bersalah Jika Dirogol? - Ini Jawapan Kepada ISMA - Lelaki Banyak Buat Jenayah Di Dunia, Wanita Sering Dipersalahkan Sebagai Punca.


Pada 27 April yang lalu, pemimpin ISMA Norazila Baharin mengatakan wanita mesti cuba menghindari diri daripada dirogol lelaki bukannya menasihatkan lelaki supaya mengawal nafsu diri. Dalam buku Wanita Songsang pula, wanita tidak menutup aurat disalahkan jika dirogol. Pada 6 Februari 2015 JAIS menukilkan khutbah jumaat bertajuk Aurat : Antara Kebebasan dan Maruah Diri. Khutbah itu, antara lainnya mengatakan kejadian seperti zina, rogol dan sumbang mahram boleh dielakkan jika wanita menutup aurat. Kenyataan ini disokong oleh Ridhuan Tee Abdullah dalam penulisan yang entah apa - apa.

Di India, mangsa rogol disalahkan atas musibah yang berlaku. Kali ini yang berkata adalah perogol itu sendiri. Mukesh Singh yang merogol, menculik dan membunuh Jyoti Singh dalam kes kontroversi 2012 Delhi Gang Rape dalam temubual bersama BBC berkata, "You can't clap with one hand - it takes two hands. A decent girl won't roam around at 9 o'clock at night. A girl is far more responsible for rape than a boy. Boy and girl are not equal. Housework and housekeeping is for girls, not roaming in discos and bars at night doing wrong things, wearing wrong clothes. About 20 percent of girls are good."

Mereka yang sentiasa menyalahkan mangsa rogol ini selalu memfokuskan kritikan pada pakaian yang dipakai mangsa. Mereka berhujah, "Kalau ikan dibiarkan terdedah kucing mana yang tak nak?" Hujah ini tidak mengambil kira hakikat bahawa wanita berpurdah, orang tua, lelaki dan kanak - kanak juga turut dirogol. Dalam kes wanita berpurdah, bahagian badannya yang manakah kita perlu suruh tutup untuk mengelakkan dirogol lagi? Dalam kes kanak - kanak yang dirogol, ayat quran dan hadis yang manakah mewajibkan golongan belum akil baligh menutup aurat? Dalam kes lelaki dirogol mengapa ramai sahaja yang okey melihat lelaki membuka aurat difb? Cuba fikirkan : mengapa atlet gimnas Farah Ann dihina oleh ustaz fb acah - acah alim sebagai pelacur dan didoakan akan dirogol kerana membuka aurat tapi mereka tak ada masalah bila atlet bina badan Sazali Samad memakai cawat dikhalayak ramai?

Sesetengah penyalah wanita ini akan berhujah mengatakan berpakaian sopan menutup aurat ini mencegah jenayah rogol daripada berlaku. Mereka menjustifikasikan pandangan mereka ini dengan memetik ayat al-quran, “Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka..." (An-Nur :31). Tetapi mereka tidak peka dengan maksud ayat al-quran ini. An-Nur : 31 mewajibkan wanita menutup aurat bukannya ia mengatakan jika menutup aurat menghalang rogol berlaku. Bak kata - kata yang aku jumpa di internet, "Blaming rape victim for not wearing modest clothes is like blaming victims of terror for not wearing bulletproof armour."

Pada pendapat aku, daripada penyalah wanita membazir masa menuding jari kepada mangsa rogol adalah lebih baik mereka menasihatkan lelaki - lelaki diluar sana akan firman Allah yang berbunyi, "Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka; sesungguhnya Allah Amat Mendalam PengetahuanNya tentang apa yang mereka kerjakan."

Jika mereka yang suka menyalahkan wanita ini benar - benar ingin mencegah jenayah rogol daripada berlaku sepatutnya mereka mengambil langkah yang lebih proaktif seperti menggalakkan perempuan mempelajari seni mempertahankan diri, mendesak ahli politik menggubal undang - undang yang lebih tegas dan menjalankan kempen mendidik lelaki tentang hak wanita serta mengapa mereka perlu dihormati.

Golongan penyalah wanita ini juga suka berhujah, "Jenayah rogol dinegara - negara timur tengah rendah sebab perempuan disana berpakaian sopan." Memang tak dinafikan kadar jenayah rogol dinegara - negara arab seperti Arab Saudi, Qatar dan Oman agak rendah tetapi kita harus melihat disebalik statistik. Dinegara - negara konservatif islam yang mengamalkan mazhab Hanafi, rogol dibandingkan dengan zina (menggunakan kaedah dalalah an-nas) dengan sama sama mengandungi maksud melakukan persetubuhan haram. Oleh itu wanita yang dirogol mesti membawa 4 orang saksi lelaki islam yang adil untuk membuktikan dirinya telah dirogol. Syarat ini sangat susah dipenuhi oleh si mangsa kerana jenayah rogol selalunya dilakukan ditempat tersembunyi dimana tiada siapa melihat. Ini menyebabkan ramai mangsa memilih untuk tidak melaporkan rogol yang berlaku keatas mereka. Jika mereka laporkan juga ada dua kemungkinan yang berlaku. Pertama, dia mungkin dihukum dibawah Qazaf kerana memfitnah seseorang tanpa 4 saksi. Atau kedua, dituduh berzina. Sekiranya mengandung, anak yang bakal lahir itu dijadikan bukti keatasnya.

Di Arab Saudi pula, terdapat undang - undang yang melarang wanita bersama dengan lelaki yang bukan mahram. Sekiranya seseorang wanita melanggar peraturan ini dan seterusnya dirogol maka kemungkinan besar dia tidak akan melaporkan jenayah yang berlaku. Mengapa? Kerana hukuman yang bakal dikenakan keatasnya kerana bersama - sama bukan mahram adalah amat berat. Beberapa hari lepas seorang wanita Saudi berusia 19 tahun yang dirogol tujuh orang lelaki dihukum penjara 6 bulan dan sebat 90 kali (yang kemudiannya ditambah kepada 200 kali kerana bercakap kepada media). Demi mengelakkan diri mereka dianiaya oleh sistem undang - undang tidak bertamadun ini ramai wanita yang dirogol mendiamkan diri.

Selain itu, dikebanyakan negara - negara arab rogol yang dilakukan terhadap isteri (marital rape) tidak dianggap sebagai satu jenayah. Kononnya, apabila seseorang perempuan mengahwini seorang lelaki maka si perempuan itu telah menjadi milik si lelaki.Oleh itu, isteri yang dianiaya secara seksual tidak boleh mengadu nasibnya.

Ketiga - tiga faktor ini menyebabkan jumlah kes rogol yang dilaporkan jauh lebih rendah daripada yang sebenarnya berlaku.

Mereka yang berpendapat jika tak tutup aurat boleh menggalakkan rogol patut melihat lebih jauh. Menurut statistik yang dikeluarkan Pertubuhan Bangsa - bangsa Bersatu menunjukkan pada tahun 2010, negara Jepun merekodkan kadar 1.0 jenayah rogol bagi setiap 100000 penduduk, Andorra (1.2), Ukraine (1.4), Hong Kong (1.6) dan Greece (1.9). Dinegara - negara ini wanita boleh bebas memakai pakaian seksi sehingga tetek tersembur tetapi tak ada pun lelaki merogol mereka. Mengapa? Kerana disana, lelaki diajar dari kecil bahawa wanita perlu dihormati dan rogol itu salah. Mereka tak ajar anak - anak mereka untuk menuding jari pada mangsa rogol jika mereka dirogol.

Pelik sekali mengapa selalunya perempuan yang disuruh jangan keluar malam tapi lelaki dibiarkan bebas. Kononnya, perempuan tak boleh jaga diri. Kononnya, kebanyakan penghuni neraka adalah perempuan dan oleh itu la bereya - eya nak tindas perempuan. Adakah ini cara fikir yang betul? Aku belajar undang - undang dan selalu keluar masuk mahkamah dan berdasarkan pemerhatian aku, hanya 1/20 tertuduh yang aku nampak setiap hari adalah perempuan. Selebihnya adalah lelaki. Cuba kau tengok pula berapa banyak nisbah perempuan dan lelaki di universiti. Menurut statistik Kementerian Pelajaran Tinggi, lebih 70% mahasiswa adalah perempuan! Kalau kau betul nak umat islam maju selaras dengan syariat bukan perempuan yang kau perlu kongkong dan hina pasal aurat tapi anak - anak lelaki dekat luar sana yang kau biarkan bebas kononnya sebab mereka pandai jaga diri. Didik mereka jangan merogol, rajin belajar dan jadi manusia berguna.

Akhir sekali, aku memohon semua pihak untuk berhenti menyalahkan mangsa rogol. Cukup perit nasib mereka diduga dengan musibah yang berlaku jadi, tidak sepatutnya kita menambah lagi seksa mereka itu. Kepada penulis buku Wanita Songsang pula, mungkin kamu bertiga bangga dapat menulis buku tapi ingatlah terbitkan buku itu senang, terbitkan buku berotak berasaskan fakta itu susah. Kalau aku yang lelaki ni pun tak salahkan perempuan bila dirogol megapa kamu bertiga ni bereya - eya nak menjatuhkan kaum sejantina?

Share this :

Previous
Next Post »