t>

Breaking News

Insiden Peniaga Bakar Gerai, Ini Penjelasan YB Balakong.


KENYATAAN MEDIA NG TIEN CHEE, AHLI DEWAN NEGERI KAWASAN BALAKONG MENGENAI TINDAKAN PENGUATKUASAAN MPKj TERHADAP PENIAGA PASAR RAMADAN TANPA KELULUSAN DI TAMAN IMPIAN EHSAN, BALAKONG.

Saya berasa kecewa apabila mendapati terdapat sekumpulan peniaga pasar Ramadan di Jalan Cengal 4, Taman Impian Ehsan dari 38 gerai mengadakan protes mendesak MPKj membenarkan mereka berniaga di tapak tersebut. Menurut pemahaman saya, peniaga telah berniaga di tapak tersebut sejak 18 tahun yang lalu, walau bagaimanapun, kita perlu faham bahawa tapak tersebut kini tidak sesuai untuk berniaga lagi dengan peningkatan kepadatan penduduk dan kenderaan berulang alik di sekitar kawasan itu serta penambahan bilangan peniaga.

MPKj telah menerima aduan mengenai kesesakan lalulintas di tapak tersebut sejak beberapa tahun yang lalu. Untuk makluman semua, pihak saya dan MPKj tidak berniat menutup periuk nasi peniaga-peniaga di tapak tersebut maka MPKj telah mencadangkan tapak baru yang terletak berdekatan dengan tapak lama iaitu di kawasan lapang di belakang Apartmen Zapin, Taman Balakong Jaya Pasar Ramadan itu telah mula berniaga di tapak baru sejak tahun 2015.

Peniaga sepatutnya berniaga di tapak baru memandangkan ia merupakan tapak yang diluluskan oleh MPKj dan dianjurkan oleh pihak Surau An-Nur, Taman Impian Ehsan dengan sewaan RM 400 yang munasabah kerana ia termasuk caj-caj pembersihan harian. MPKj perlu mangambil tindakan penguatkuasaan yang tegas kerana mereka bertanggungjawab menjaga hak peniaga-peniaga yang telah mendapat kelulusan MPKj. Mereka tidak boleh membiarkan perkara ini berleluasa kerana ini akan mengakibatkan lebih banyak peniaga tidak memohon kelulusan pada tahun-tahun yang berikut.

 Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk menjawab beberapa tuduhan daripada wakil peniaga yang dibuat semasa protes semalam.

1. Wakil peniaga menyatakan bahawa mereka pernah berjumpa dengan saya untuk meminta bantuan saya supaya mendesak MPKj membenarkan mereka berniaga tetapi saya gagal. Saya ingin menegaskan bahawa Wakil Rakyat tidak ada sebarang kuasa untuk meluluskan ataupun menolak sebarang permohonan kerana ia adalah di bawah bidang kuasa Pihak Berkuasa Tempatan.

MPKj pula membuat keputusan secara adil kerana keputusan di buat melalui mesyuarat Jawatankuasa Kawalan Perniagaan dan Kesihatan yang di anggotai oleh Yang Di Pertua, MPKj, ahli-ahli majlis dan pegawai-pegawai jabatan terbabit. Sebagai seorang Wakil Rakyat yang di pilih oleh pengundi saya, saya akan membantu menyelaras dengan MPKj untuk membantu sesiapa sahaja peniaga yang perlukan bantuan. Dalam peristiwa ini, saya telah membuat semakan dengan Jabatan Perlesenan dan Penjaja dan mendapati pihak MPKj hanya menerima dua permohonan bagi penganjuran pasar Ramadan di sekitar Taman Impian Ehsan pada tahun ini iaitu permohonan daripada Surau An-Nur pada 1hb Februari 2016 dan Jawatankuasa Penduduk Taman Impian Ehsan pada 2hb Februari 2016. Kedua-duanya memohon menganjurkan pasar Ramadan di tapak yang sama iaitu di tapak baru yang dicadangkan oleh MPKj.

2. Wakil peniaga turut menuduh bahawa MPKj enggan menerima permohonan mereka. MPKj tidak berhak untuk tidak menerima sebarang permohonan penganjuran pasar Ramadan melainkan sesuatu permohonan itu tidak ada dokumen yang lengkap ataupun ia telah di hantar selepas tarikh tutup permohonan iaitu 12hb Februari 2016. Saya meminta pihak penganjur membuat semakan adakah mereka telah melakukan salah satu daripada kesilapan di atas dan sekiranya tidak, sila berjumpa dengan saya dengan bukti-bukti yang ada supaya saya boleh menyiasat tuduhan ini agar keadilan bagi peniaga-peniaga dapat ditegakkan.

 3. Terdapat peniaga yang bertanya-tanya Di manakah YB Balakong. Saya menghormati hak peniaga untuk protes kerana ia adalah hak semua warganegara Malaysia menurut Perlembagaan Malaysia tetapi saya tidak dimaklumkan bahawa mereka mengadakan protes tersebut dan tidak menerima sebarang maklumat mengenai perancangan mereka. Wakil peniaga sepatutnya berjumpa dengan saya ataupun sekurang-kurangnya menelefon saya dan membincangkan perkara ini supaya kelihatan adil kepada semua pihak. Sekiranya saya enggan berjumpa ataupun tidak melayan mereka, terpulanglah kepada peniaga untuk melontarkan sebarang kemarahan terhadap saya.

4. Sesetengah pihak menuduh MPKj hanya melaksanakan tindakan penguatkuasaan terhadap peniaga Melayu sahaja. Peniaga bangsa Cina yang tiada kebenaran berniaga tidak di ambil tindakan kerana anggota penguatkuasaan telah menerima rasuah. Tuduhan ini merupakan tuduhan yang amat tidak adil terhadap semua pihak kerana MPKj memang melaksanakan tugas mereka secara adil dan saksama. Peniaga di pasar Ramadan mempunyai persepsi hanya peniaga Melayu di ambil tindakan kerana mereka tidak nampak peniaga bukan Melayu terutamanya peniaga bangsa Cina di ambil tindakan penguatkuasaan kerana hanya peniaga beragama Islam dibenarkan berniaga di pasar Ramadan.

MPKj mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap peniaga-peniaga tanpa kebenaran tidak mengambil kira warna kulit. Ini boleh dibuktikan dengan tindakan penguatkuasaa secara besar-besaran di sepanjang Jalan Bahagia 1, Taman Sri Bahagia sebelum ini dimana majoriti peniaga adalah berbangsa Cina.

Selain daripada itu, MPKj juga telah melakukan tindakan penguatkuasaan terhadap penjaja tanpa lesen di Pasar Pagi Kampung Baru Cina Batu 11 Cheras pada pagi tadi dimana 8 penjaja tanpa lesen telah di keluarkan kompaun dan 2 sitaan telah dilaksanakan. Sekiranya sesiapa yang ada bukti bahawa anggota penguatkuasaan telah menerima rasuah, saya mengalu-alukan mereka supaya tampil untuk membongkarkannya agar tindakan selanjutnya boleh di ambil. Selain daripada itu, terdapat keluhan yang menyatakan bahawa tapak baru kurang sesuai kerana perniagaan tidak sebaik di tapak asal.

Saya ingin menjelaskan bahawa penurunan keuntungan yang di dapati bukan kerana tapak tidak sesuai. Saya melawat semua tapak pasar Ramadan di dalam kawasan Balakong tiap-tiap tahun untuk mengedarkan buah kurma. Saya dapati bahawa pengunjung ke tapak baru kelihatan lebih banyak jika berbanding dengan tapak asal.

Penurunan perniagaan yang di alami oleh peniaga adalah disebabkan kemelesetan ekonomi negara kita dan perlaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) pada 1hb April 2015 yang telah membebankan rakyat jelata. Ini nyata dirasai oleh semua peniaga di dalam negara kita tanpa mengira bidang perniagaan. Saya telah berbincang dengan pegawai MPKj dan persetujuan telah dicapai.

Kami boleh membantu peniaga-peniaga berkenaan untuk berpindah ke tapak pasar Ramadan yang telah diluluskan oleh MPKj yang saya nyatakan di atas. Penganjurnya Surau An-Nur juga bersetuju untuk membenarkan mereka memasuki tapak tersebut agar semua orang dapat peluang mencari rezeki pada bulan Ramadan yang suci ini.

Akhir kata, peniaga-peniaga tidak patut menyalahkan siapa-siapa dan peristiwa ini kerana yang bersalah adalah individu atau pihak penganjur yang tidak bertanggungjawab kerana telah meletakkan periuk nasi peniaga-peniaga dalam risiko.