t>

Breaking News

Polis British Datang April Lepas Maklumkan Tentang Huckle Kepada Penjaga Mangsa & PDRM Tidak Tahu Apa-Apa..


Pada akhir April lalu, pengerusi sebuah penempatan rumah panjang di sini menerima kunjungan seorang anggota polis British.

Beliau diberitahu supaya tidak bimbang mengenai pesalah pedofilia, Richard Huckle yang kini berada dalam tahanan polis.

Pengerusi Persatuan Penduduk Rumah Panjang Bukit Kiara, V. Sunderam berkata, beliau terkejut apabila dikunjungi anggota polis berkenaan bersama wakil Protect and Save the Children (PS The Children) iaitu sebuah organisasi bukan kerajaan Malaysia yang memberi tumpuan kepada perlindungan gangguan seksual kanak-kanak.

"Anggota polis itu memberi jaminan kepada kami bahawa tindakan akan diambil terhadap Huckle dan jurugambar itu tidak akan kembali lagi ke rumah panjang ini," kata Sunderam.
"Anggota polis itu juga menasihatkan supaya kami tidak bimbang tentang Huckle dan meminta kami melupakannya kerana dia kini sudah berada dalam penjara," katanya lagi.

Sunderam, 65, berkata demikian kepada The Star mengenai Huckle yang disabitkan bersalah.

Huckle, 30, mengaku bersalah terhadap 71 pertuduhan kesalahan seks kanak-kanak termasuk merogol di mahkamah London.

Kebanyakan jenayah itu dilakukan ketika dia bekerja sebagai seorang guru Bahasa Inggeris dan jurugambar di Malaysia antara 2005 dan 2014.

Tambah Sunderam, beliau terpaksa mengambil masa untuk mengingati Huckle yang kali terakhir dilihatnya pada satu majlis sekitar 2014.

"Dia selalu datang dan pergi. Kebanyakan masanya di sini adalah untuk mengambil gambar perayaan.

"Kami membayarnya RM50 untuk mengambil gambar aktiviti masyarakat. Kadang-kadang dia akan melakukannya secara percuma.

"Seperti yang saya katakan sebelum ini, dia adalah seorang lelaki yang sangat baik. Dia tidak mencetuskan masalah. Bagi kami, dia adalah seorang yang normal," katanya.

Sunderam berkata beliau juga pernah menyampaikan cenderamata kepada Huckle ketika majlis sambutan Hari Kebangsaan pada September 2014 di mana lelaki itu menyertai acara tariktali.

Beliau juga menunjukkan kepada The Star gambar Huckle pada ketika itu yang yang memakai baju-T berwarna putih ketika mengambil bahagian dalam pertandingan tersebut.

Kata Sunderam beliau terkejut dengan pendedahan bahawa jurugambar bebas itu telah ditahan berkaitan pelbagai kesalahan seksual yang melibatkan kanak-kanak di Malaysia, Indonesia, Thailand dan India.

"Anggota polis itu menunjukkan kepada saya gambar Huckle dan bertanya kepada saya sama ada saya mengenalinya.

"Saya memberitahu bahawa kali terakhir saya melihat dia adalah semasa perayaan," katanya.

Seorang penduduk, P. Nagarajan, 40, berkata Huckle adalah seorang yang "mesra" dan dapat memahami bahasa Tamil secara asas.

"Semua kenal dia. Dia boleh bercakap frasa asas Tamil seperti 'Awak dah makan?

"Dia beritahu kami dia belajar di Kuala Lumpur. Kawan-kawannya kebanyakannya adalah kanak-kanak," katanya. -MSTAR.