t>

Breaking News

Tuhan Beri Kemenangan Luar Biasa Kepada Kita - Najib.


Kemenangan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Besar merupakan satu titik permulaan untuk merampas semula negeri Selangor pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata ada harapan untuk perubahan berlaku ke arah itu selepas dibuktikan dengan kemenangan besar BN di kerusi Parlimen Sungai Besar.
Beliau berkata momentum kemenangan ini perlu diteruskan ke arah merampas semula negeri Selangor pada PRU14 selepas terbukti BN mendapat sokongan bukan sahaja daripada orang Melayu tetapi juga kaum Cina dan India.
"Ini bukan soal pemilihan UMNO...ini soal PRU akan datang, kita mesti bekerja bersungguh-sunguh dan berbakti kepada rakyat," katanya semasa berucap di hadapan penyokong-penyokong BN di sini yang meraikan kemenangan calon BN, Budiman Mohd Zohdi.
Beliau turut mengingatkan anggota BN dan jentera parti komponen supaya tidak menganggap tugas mereka sudah selesai dengan kemenangan di Sungai Besar dan Kuala Kangsar, sebaliknya mereka sentiasa perlu turun ke padang untuk bersama rakyat.
Perdana Menteri berkata beliau mahu semangat yang ditunjukkan jentera dan anggota BN pada dua PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar diteruskan dan tidak taksub atau ego dengan kemenangan yang sifatkannya sebagai luar jangka itu.
Katanya, kemenangan itu berkat daripada kemuafakatan dan kerjasama anggota komponen BN serta menunjukkan parti itu berkebolehan mentadbir negara berbanding kecelaruan pembangkang.
Beliau berkata rakyat tidak boleh meletakkan kepercayaan kepada pakatan yang tiada persefahaman seperti yang ditunjukkan pembangkang kerana masa depan negara ini bukan sesuatu yang boleh dipertaruhkan demi masa depan generasi akan datang.
"Kita (BN) boleh membawa kemajuan, menjamin masa depan, menyelesaikan masalah rakyat, menentukan keamanan dan membawa Malaysia berjaya, kita tidak boleh bergayut kepada pembangkang," katanya.
Dalam ucapannya yang penuh bersemangat itu, Najib, yang juga Pengerusi BN, berkata rakyat negara ini juga tidak boleh meletakkan masa depan mereka kepada individu berusia 91 tahun (merujuk kepada bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir
Mohamad).
Najib berkata tindakan Dr Mahathir sekarang yang tidak konsisten dengan pendiriannya yang dahulu seperti seseorang yang tidak ada maruah dan prinsip.
"Kita akan lawan dia habis-habisan, penipuan dia, dia nak kata apa, katalah saya ini, 'gentleman', dia kata saya ini Idi Amin Malaysia (bekas presiden Uganda), Idi Amin Malaysia lagi popular, jawabnya apa, rakyat sudah jawab, rakyat sudah tolak Mahathir Mohamad, rakyat sudah tolak Deklarasi Rakyat, rakyat tidak mahu ini semua," katanya.
Menurutnya rakyat tidak perlukan apa yang dibawa oleh bekas perdana menteri tersebut sebaliknya mereka mahukan sebuah kerajaan yang mampu membantu mereka dan jaminan masa depan.
Mengenai kejayaan BN meningkatkan majoriti undi yang besar di Sungai Besar, Najib berkata ia adalah di luar dugaan dan jauh terpesong daripada apa yang dijangkakan ramai pihak.
"Ramai yang tidak duga, ada orang kata kita akan menang, dulu majoriti 399, ada kata kita boleh menang mungkin majoriti undi 2,000, mungkin 3,000, semalam saya beritahu saya hendak lebih daripada 5,000.
"Ada orang kata saya tamak, tak mungkin dapat, tapi Alhamdulillah Tuhan telah makbul doa kita, Tuhan beri kemenangan luar biasa, luar dugaan kepada kita, majoriti dengan angka yang cukup indah, 9,191 (di Sungai Besar)," katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada pengundi-pengundi di Kuala Kangsar yang turut memberikan majoriti undi yang besar kepada calon BN dengan nombor yang disifatkan juga cantik iaitu 6,969.
"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada (Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak) Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, calon kita yang berjaya Datin Mastura (Mohd Yazid) dan semua pihak yang telah berkhidmat (di Kuala Kangsar)," katanya.
Katanya, walaupun beliau menerima pelbagai kritikan dan penghinaan, namun dengan ketabahan, Allah telah memberikan kemenangan di kedua-dua PRK itu.
- Bernama