ALERT! Polis Nasihat Orang Awam Berwaspada Dengan Van Putih - Penculik Muncul Kembali!


Polis menasihati orang ramai supaya berhati-hati jika ternampak van putih di lokasi mencurigakan susulan kes cubaan culik kanak-kanak berumur 10 tahun di Kampung Datuk Keramat, di sini, Selasa lalu.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju Supt Mohamad Roy Suhaimi Sarif berkata ini berikutan terdapat kes cubaan menculik melibatkan 4 lelaki dengan 2 daripadanya memakai pakaian wanita menggunakan van putih. “Setakat ini ada satu kes cubaan culik dilaporkan melibatkan suspek menggunakan van putih, melibatkan cubaan culik seorang murid perempuan Sekolah Rendah Agama Al Akram, Kampung Datuk Keramat, dalam perjalanan ke sekolah,” katanya.

Dalam kejadian 1.50 tengah hari Selasa lepas, kanak-kanak itu dihampiri sebuah van putih, di dalamnya ada sekumpulan 4 individu, 2 daripadanya lelaki yang menyamar dengan memakai pakaian wanita, keluar dari kenderaan itu dan cuba menarik mangsa masuk ke dalam van berkenaan. “Seorang daripada lelaki berpakaian wanita itu mengacukan sebilah pisau ke arah kanak-kanak tersebut namun mangsa dilepaskan setelah meronta dan menyepak serta menumbuk muka kedua-dua lelaki itu yang kemudiannya lari dengan van berkenaan,” katanya. Kanak-kanak itu kemudian berlari masuk ke kawasan sekolah dan menceritakan kejadian itu kepada guru.

Beliau berkata laporan polis mengenai kejadian dibuat seorang guru wanita sekolah berkenaan. “Nombor pendaftaran van itu tidak pasti kerana tiada kamera litar tertutup di tempat kejadian dan tak tahu pergi ke arah mana,” katanya.

Roy Suhaimi berkata guru itu turut membuat laporan polis terdapat satu lagi cubaan culik melibatkan kanak-kanak sekolah sama pada 5 Ogos lalu, apabila 2 lelaki menggunakan sebuah motosikal cuba menarik tangan salah seorang daripada 2 beradik perempuan berumur 7 dan 10 tahun yang sedang berjalan ke sekolah berkenaan kira-kira 1.50 tengah hari.

“Pembonceng motosikal menarik tangan kanak-kanak berumur 7 tahun tetapi kanak-kanak berkenaan meronta dan menjerit menyebabkan lelaki berkenaan melepaskan tangannya dan melarikan diri dengan motosikal jenis Yamaha 125. “Kedua-dua murid perempuan itu kemudian berlari masuk dalam masjid Al Akram yang berdekatan dengan sekolah itu,” katanya. Beliau berkata setakat ini belum ada sebarang tangkapan untuk kedua-dua kes yang kini disiasat mengikut Seksyen 363/511 Kanun Keseksaan kerana melakukan penculikan dan cubaan melakukan jenayah yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan denda.

Roy Suhaimi berkata pihaknya meningkatkan rondaan di kawasan berkenaan. Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ampang Jaya ACP Hamzah Alias berkata polis masih belum menerima sebarang laporan daripada anggota keluarga gadis yang dipercayai diculik 2 lelaki menggunakan kereta Perodua berwarna putih di persimpangan Jalan AU 5C/7, Taman Lembah Keramat, Selasa lepas. “Setakat ini kita belum terima laporan dari mana-mana pihak mengenai kehilangan ahli keluarga mereka,” katanya. - FMT

Share this :

Previous
Next Post »