Berhenti Desak Agamawan Bercakap Tentang 1MDB Selagi Berdasarkan Sangkaan & Fitnah - Mufti Perak.


Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria mahu dikalangan pemimpin politik tidak harus berterusan mendesak golongan agamawan, ulama dan mufti di negara ini menyuarakan pandangan terhadap isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sebagaimana didedahkan oleh Jabatan Keadilan (DoJ) Amerika Syarikat.

"Saya sudahpun membuat kenyataan mengenai DoJ sebelum ini bila ditanya wartawan, tetapi masih ada lagi desakan yang mahu mufti bersuara. "Sekali lagi saya nak katakan, bahawa kami tidak akan buat kenyataan jika 1MDB hanya satu pra sangka, fitnah, prejudis dan sebagainya," ujarnya kepada Malaysia Dateline.

Ditanya apakah ada perbincangan dikalangan mufti untuk mendapatkan maklumat berkaitan isu 1MDB ini beliau berkata, ia bukan satu keperluan untuk mufti duduk berbincang secara serius mengenai perkara itu.

"Mufti tidak perlu berbincang dalam isu ini dengan serius, melainkan jika ada fakta yang cukup kuat."Kalau mufti bercakap pada perkara yang kita sendiri tidak tahu, itu tandanya kita bodoh. "Kalau ada pihak dakwa betul ia berlaku buktikan.

Kalau tidak ia hanya merupakan fitnah yang membuat dosa semata-mata," ujarnya. Beliau diminta mengulas mengenai desakan beberapa pemimpin politik pembangkang baru-baru ini yang mahu ulama, agamawan dan mufti bersuara dalam isu 1MDB.

Pada 1 Ogos Penasihat Umum Amanah,Ahmad Awang telah menggesa Majlis Fatwa Kebangsaan membuat pendirian tentang isu 1MDB dan DoJ. Pada 22 Ogos lalu Presiden Amanah Mohamad Sabu dipetik berkata, Malaysia ketandusan ulama yang berani menentang korupsi dan salah laku dalam pentadbiran negara, sehingga kini ujarnya, belum ada ulama yang lantang menyatakan kritikan dan penentangan terhadap salah laku ini. Pada 25 Ogos Datuk Husam Musa ketika bercakap dalam Wacana Harapan: 1MDB ke Mana Hujungnya? turut menyebut isu membabitkan 1MDB tidak dianggap sebagai 'jenayah agama' dikalangan golongan agamawan di negara ini dalam konteks berkerajaan.

Pada 29 Ogos dalam kolum Ahli Parlimen Kuala Terengganu Raja Kamarul Bahrin Shah turut menyebut jika Mufti Perlis Datuk Dr Mohamad Asri Zainul Abidin berani untuk bercakap mengenai 1MDB bagaimana pula dengan mufti lainnya. Menjawab persoalan tersebut Harussani berkata, pemimpin politik berhak menyuarakan rasa kurang senang mereka terhadap ulama dan mufti yang enggan menyuarakan pandangan mengenai isu 1MDB secara rasmi seperti dilaporkan oleh DoJ.

"Dalam hal ini juga, setiap ulama dan mufti berhak untuk mengeluarkan kenyataan peribadi mereka sendiri tetapi ia tidaklah mencerminkan pendirian semua mufti dan ulama di negara ini. "Bagi saya, saya tidak akan bercakap jika sesuatu isu itu tidak lagi dibuktikan, malah tak perlu fatwa pun.

"Kita tidak mahu mencampuri uruan politik yang boleh mengeruhkan lagi keadaan antara pemimpin dan rakyat serta kerajaan. Malah hentikanlah mendesak ulama, agamawan lainnya untuk beri pandangan," ujarnya yang enggan mengulas lanjut.

Pendirian Harussani ini juga dilihat selari dengan pandangan Pengerusi Majlis Dakwah Negara (MDN) Prof Emeritius Datuk Dr Mahmood Zuhdi Ab Majid yang dipetik berkata, mahu golongan agamawan dan ulama diberikan peluang untuk merapatkan jurang perbezaan pandangan politik tanpa membabitkan mereka dalam isu yang dibangkitkan antara parti politik dan kerajaan.

Mahmood Zuhdi turut menasihati agar pemimpin politik tidak menuduh golongan agamawan dan ulama di negara ini, lebih gemar bersikap membisu atau menutup sebelah mata dalam isu 1MDB. Malah Pengerusi Majlis Fatwa Tan Sri Dr Shukor Husin dalam satu kenyataan juga berkata majlis fatwa tidak merancang bersidang mengenai isu 1MDB. “Ia sudah dikaji pihak profesional.

Kita juga tak punya maklumat tentang soal ekonomi yang teknikal dan di tahap global. “Maka Majlis Fatwa tidak melihat akan mencampuri hal-hal seumpama ini,” katanya seperti dipetik - MalaysianDateline

Share this :

Previous
Next Post »