t>

Breaking News

Kos Lawatan Kerja PAS Ke Krabi Ialah 60,000 Sahaja.

Kenyataan timbalan menteri besar Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah bahawa program lawatan kakitangan kerajaan negeri Kelantan ke Krabi, Thailand selama tiga hari baru-baru ini hanya menelan belanja RM60,00 dipertikaikan.

Blogger, Mohd Sayuti Omar dalam status facebooknya mempersoalkan apakah perbelanjaan sebanyak itu hanya dikeluarkan dari perbendaharaan kerajaan manakala yang lain ditampung. "Menurut Nik Amar (Mohd Amar), perbelanjaan mesyuarat dan lawatan ahli Jawatankuasa Hal Ehwal Tanah (JHET) bersama wakil rakyat, penyelia Dun dan Exco selama tiga hari ke Krabi Thailand berskala 130 orang menelan belanja hanya RM60,000.00 sahaja. "Ini bermakna sekepala peruntukannya sekitar RM462 sahaja. Memang jimat dan murah. Apakah perbelanjaan sebanyak itu hanya dikeluarkan dari Perbendaharaan Kerajaan manakala yang lain ditampung?" tulis Sayuti, blogger yang terkenal dalam isu-isu Kelantan ini.

Bagi beliau, susah untuk menerima jumlah yang disebut Nik Amar itu dalam keadaan cukai yang pelbagai. "(Apakah) perbelanjaan dibiayai oleh tabung di luar dari Perbendaharaan Kelantan, di mana kos itu tidak direkodkan," soal Sayuti. Ataupun katanya, peruntukan itu hanya untuk bayaran tambang bas dan lain-lain pengangkutan sahaja sementara penginapan, makan dan minum ditanggung sendiri? "Berapa harga untuk satu malam bilik di Krabi atau ahli rombongan tidur di surau atau masjid?" soalnya lagi.

Bagaimanapun, beliau mengucapkan terima kasih kepada Nik Amar kerana mendedahkan angka itu. "Rombongan lain juga perlu mendedahkan kos perbelanjaan mereka supaya dapat dinilai. "Misalnya lawatan ke Eropah Timur oleh Perbadanan Stadium Sultan Muhammad ke-IV baru-baru ini juga perlu didedahkan perbelanjaannya," kata Sayuti merujuk lawatan yang diketuai Exco Belia dan Sukan ke Eropah.

Bagaimanapun, kata Sayuti, tidak ada guna menghabiskan wang puluhan ribu untuk lawatan tetapi hasilnya tiada. "JHET sendiri elok kalau memansuhkan peruntukan lawatan tahunan itu, dan sebaiknya gunakan wang itu untuk pembelian peralatan menjaga prasarana tanah tanih di Kelantan," katanya. - MalaysiaDateline