t>

Breaking News

Tukar Status Tanah Paya Indah Wetland - Chegu Bard Ada Bukti Kukuh Azmin Terlibat.


Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) mendakwa pihaknya mempunyai bukti menunjukkan ada proksi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dalam syarikat pemaju yang terlibat dalam isu pertukaran status Paya Indah Wetland.

Penyelaras SAMM, Badrul Hisham Shaharin berkata, proksi Menteri Besar Selangor itu dikatakan sangat rapat dengan Mohamed Azmin.

“Watak ini (proksi) dikesan melalui beberapa dokumen yang dihantar termasuk ke penjawat awam dengan terakam kedudukan beliau yang menggambarkan hubungan beliau dengan Menteri Besar,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.

Badrul Hisham atau lebih dikenali CheguBard berkata, masa selama tujuh hari diberikan kepada Mohamed Azmin bagi meminta maaf kepada semua rakyat, ahli PKR, ahli komponen Pakatan Harapan khususnya rakyat Selangor atas kesalahan yang dilakukan.

“Dia juga perlu menukar semula status tanah tersebut. Jika gagal selepas itu akan didedahkan semua hasil siasatan, proses tindakan berdasarkan perundakan akan dimulakan juga desakan selepas itu cuma satu dia harus meletakkan jawatan,” ujarnya lagi.

Kesalahan jelas berlaku, menurut CheguBard ialah wujudnya dokumen yang dihantar kepada penjawat awam oleh proksi berkenaan dengan tercatat hubungan beliau dengan Menteri Besar Selangor.

“Maka inilah mungkin menjelaskan tindakan kenapa pegawai–pegawai kerajaan yang sama menolak pertukaran status sebelum ini tetapi tiba–tiba mengubah pendirian,” katanya.

Menurutnya, mesyuarat terakhir menukar status tersebut dipengerusikan oleh Mohamed Azmin yang yakin secara sedar tahu kewujudan proksi dalam pemaju. – MalaysiaGazette