Demi TPPA, Malaysia Akan Ubah 18 Perkara Dalam Undang-Undang Negara - Kalau Demi Rakyat, Sanggup Pemimpin Ubah Undang2?


Malaysia bakal mengubah undang-undang negara bagi memenuhi syarat pengesahan Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA).

Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk J. Jayasiri berkata antara undang-undang yang akan dipinda berkait dengan pembasmian monopoli dalam beberapa industri.

Tambahnya, setiap 14 negara yang sudah menandatangani perjanjian TPPA mempunyai 24 bulan untuk memastikan kerajaan dan industri mereka bersedia untuk memenuhi syarat perjanjian tersebut.

Jelasnya, Malaysia tidak terkecuali dan sedang dalam proses memenuhi syarat-syarat tersebut melalui pelbagai kaedah, termasuk memperkuasakan perusahaan kecil dan sederhana.  

"Bagi Malaysia, kita harus mengubah beberapa undang-undang sedia ada dan kita sedang dalam proses untuk mengubah undang-undang tersebut.

Kami telah mengenal pasti 18 undang-undang yang perlu diubah dan sedang dalam proses untuk membuat perubahan tertentu sebelum kami boleh membawa ia ke Parlimen.

"Apabila proses ini diselesaikan, kami akan melakukan perkara selanjutnya bagi memenuhi perjanjian itu," katanya.

Malaysia yang menandatangani perjanjian tersebut pada Februari lepas harus memenuhi syarat-syarat perjanjian menjelang Februari 2018.

Jayasiri juga berkata syarat-syarat yang harus dipenuhi negara dalam perjanjian tersebut akan membasmi monopoli dalam beberapa industri.

Tambahnya, TPPA akan memberi lebih ruang kepada perusahaan kecil dan sederhana, terutamanya, untuk bersaing dengan sihat sambil meningkatkan taraf perusahaan mereka.

Namun masih akan ada beberapa industri yang masih dilindungi untuk membenarkan monopoli diteruskan seperti perusahaan beras.

Berkenaan tindakan Vietnam yang menarik diri daripada perjanjian tersebut, Jayasiri berkata kerajaan melihat negara itu mempunyai sebab-sebab tersendiri dan tidak mahu membuat sebarang spekulasi.

Namun pakar sosial ekonomi serantau berpendapat bahawa tindakan Vietnam untuk menarik diri adalah kerana faktor ketidakmatangan ekonominya yang masih bergantung kepada perusahaan milik nasional.

Beliau ditemui sewaktu majlis wacana TPPA anjuran King's College Alumni di ibu negara, pagi Sabtu lapor Astro Awani.

Share this :

Previous
Next Post »