t>

Breaking News

Enggan Beri Laluan Kepada VVIP Di Atas Jalanraya, Wanita Berani Ini Dipenjara 5 Bulan.


Akibat menghalang tugas anggota polis dengan tidak memberi kerjasama apabila diarah memberi laluan kepada konvoi Sultan Johor, seorang tukang masak hari ini dijatuhkan hukuman penjara lima bulan oleh Mahkamah Majistret di Johor Bahru selepas mengaku bersalah. 

Majistret Mohd Azlan Shah Mohd Alias menetapkan hukuman itu sebagai pengajaran kepada Nur Haslinda Abdullah, 29, agar tertuduh lebih menghormati dan tidak melanggar arahan pihak berkuasa. Beliau memerintahkan hukuman penjara itu dilaksanakan mulai hari ini. 

Nur Haslinda didakwa menghalang tugas anggota polis dengan tidak memberi kerjasama apabila diarahkan memberi laluan kepada konvoi Sultan Johor, Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar ke Mersing di KM12 Jalan Tebrau-Kota Tinggi, di Johor Bahru, kira-kira 4.30 petang, 9 Sept lepas. Dia juga malah sengaja memecut kenderaannya hingga hampir melanggar sebuah motosikal pengiring, sebelum akhirnya berjaya ditahan di sebuah kawasan. 

Nur Haslinda dituduh mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau didenda sehingga RM10,000 jika sabit kesalahan. Dalam satu lagi pertuduhan di bilik mahkamah berasingan, Nur Haslinda turut dijatuhkan hukuman penjara sehari serta denda RM5,000 oleh Majistret Salina Omar selepas mengaku bersalah memandu secara melulu dan membahayakan orang ramai, pada hari kejadian (9 Sept). Salina turut mengarahkan tertuduh agar dipenjara lapan bulan, sekiranya gagal membayar denda berkenaan. Beliau juga memutuskan Nur Haslinda hilang kelayakan memegang atau mendapatkan lesen memandu selama dua tahun. 

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) yang memperuntukkan penjara maksimum lima tahun dan didenda sehingga RM15,000 serta hilang kelayakan memegang atau mendapatkan lesen memandu tidak kurang dua tahun dan lesen percubaan dibatalkan. 

Tertuduh yang hadir di mahkamah bersama suami tidak diwakili peguam manakala pendakwaan kedua-dua kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Siti Asmah Zainal Arifin. - Bernama