t>

Breaking News

"Ini Tidak Begitu Selamat" Kata Mangsa Sebelum Maut Dirempuh Go Kart.


"Semua begitu pantas. Tiba-tiba sahaja ada kereta meluru ke arah kami. Saya terjatuh tapi dalam kesakitan,  saya bangun mencari suami dan anak. Saya panggil suami tapi tidak bersahut. Saya rangkul anak, tapi anak juga tak bercakap."

Kata Siti Suhaiza Seman, 38, yang kehilangan suami Izwan Isa,  39, dan anak bongsunya Nur Zulaikha, lima, yang maut akibat dirempuh kenderaan jenis go-kart semasa menonton Perlumbaan Augtomatif dan Inovasi Pendidikan 2016 (EIMARace) 2016 di Jalan Sukpa, Indera Mahkota di sini, semalam.

Kemalangan yang berlaku pada pukul 11.30 pagi itu turut menyebabkan anak sulung mereka Muhammad Izz Danial, tujuh, cedera, namun telah stabil dan masih berada di Hospital Tengku Ampuan Afzan di sini, dan dijaga saudara terdekat. 

Siti Suhaiza berkata keputusan untuk menonton perlumbaan dibuat secara spontan selepas mendengar bunyi deruman enjin yang kuat dari rumah mereka di Astana Permai di sini, menyebabkan beliau mahu membawa anaknya melihat dari dekat perlumbaan go-kart.

"Sebaik sahaja suami pulang dari kerja syif, saya mengajaknya untuk singgah sebentar bagi anak-anak lihat sebelum ke pasar untuk membeli barang dapur dan apabila sampai, langsung tiada sekatan. Kami masuk seperti biasa.
              
"Arwah tiba-tiba rasa teruja untuk lihat. Kami tidak pernah melihat perlumbaan go-kart sebelum ini. Arwah ke hadapan sedikit dan anak-anak ikut. Ada pengawal keselamatan di situ, tapi kami tidak dihalang.

 "Dia (pengawal keselamatan) hanya kata ke belakang sedikit," katanya kepada Bernama semasa ditemui di rumahnya di sini, hari ini. 

Siti Suhaiza yang merupakan guru di Sekolah Kebangsaan Indera Mahkota berkata kejadian berlaku semasa mereka sudah hendak beredar dan arwah sempat berkata 'ini tidak begitu selamat' sebelum dirempuh. 

Katanya arwah suaminya jatuh agak jauh daripadanya manakala Nur Zulaikha dan Muhammad Izz Danial jatuh berdekatannya, menyebabkan dia boleh melawan kesakitan untuk bangun ke arah anak-anaknya. 

"Allah jaga saya. Saya memang sakit, tapi saya boleh bangun. Saya rangkul anak, cuba panggil dia. Tapi anak sudah tidak bercakap. Suami juga senyap. Semuanya hanya sekelip mata," katanya.

Siti Suhaiza berkata dompet dan telefon bimbitnya juga hilang semasa kejadian. Setakat ini, hanya dompetnya yang ditemui. Siti Suhaiza yang turut menyempurnakan jenazah suami dan anaknya di Masjid Tengku Ampuan Azfan, Indera Mahota di sini semalam, turut memaklumkan majlis tahlil akan diadakan di surau berhampiran rumah mereka bermula malam ini. 

Hari ini, beliau turut menerima kunjungan orang ramai termasuk Naib Canselor Profesor Datuk Ir Doktor Wahid Omar dan Ketua Setiausaha Kementerian Pengajian Tinggi Tan Sri Noorul Ainur Mohd Nur dan Anggota Parlimen Kuantan Fuziah Salleh. 

Sementara itu, emak Izwan, Hanisah Mohd, 73, menyifatkan anak keenam daripada lapan beradik itu sebagai anak yang sangat bertanggungjawab, sering bertanya khabar dan akan pulang ke kampung di Kota Bharu, Kelantan setiap kali berkelapangan.

Katanya arwah juga ada merancang untuk pulang ke kampung Oktober ini, bagi berkumpul beramai-ramai dengan semua anggota keluarga. - BERNAMA