Sah, Serpihan Pesawat #MH370 Dijumpai Di Tanzania.



Kementerian Pengangkutan memaklumkan serpihan pesawat yang dijumpai di Tanzania sebelum ini adalah milik pesawat Malaysia Airlines, MH370 yang hilang pada 2014. 

Perkara terbabit disahkan selepas penelitian oleh pakar daripada Biro Keselamatan Pengangkutan Australia (ATSB), menurut kementerian itu menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan petang tadi. Serpihan itu dijumpai di Pulau Pemba, Tanzania pada 20 Jun lalu. 

Sementara itu Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai yang mengulas mengenai pengesahan itu selepas sidang medianya di Sepang petang tadi memaklumkan, serpihan terbabit turut mengandungi angka dan tarikh yang mengesahkan ia milik pesawat 9M-MRO yang dibina pada 23 Januari 2002. 

Pihak penyiasat katanya akan meneruskan siasatan terhadap serpihan berkenaan yang mungkin memberi maklumat baharu tentang nasib yang menimpa pesawat MH370. Serpihan Itu sebelum ini dijumpai oleh nelayan tempatan sebelum diterbangkan ke Australia untuk dianalisa. 

Dalam sidang media yang diadakan sebelum ini, Liow tidak menolak kemungkinan ia milik pesawat MH370. Susulan itu Malaysia menghantar pasukan penyiasat bagi meneruskan siasatan. Lokasi penemuan serpihan itu turut menepati corak aliran hanyut beberapa serpihan yang sebelum ini yang ditemukan berhampiran Afrika Selatan dan Mauritius. Sejak tahun lalu, beberapa serpihan yang dikaitkan dengan pesawat MH370 berjaya ditemui. 

Namun hanya bahagian flaperon yang dijumpai di Pulau Reunion telah disahkan milik MH370. Penerbangan MH370 dilaporkan hilang di selatan Lautan Hindi ketika dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing pada 8 Mac 2014 bersama 239 penumpang dan anak kapal. - Awani

Share this :

Previous
Next Post »