t>

Breaking News

7,000 Hektar Hutan Simpan Kelantan Diterokai Secara Haram Sejak 36 Tahun Lepas..


Sejumlah 7,248 hektar daripada lebih 600,000 hektar Hutan Simpan Kekal diteroka secara haram di seluruh Kelantan sejak 1980-an, kata Pengarah Perhutanan Kelantan Zahari Ibrahim.
Katanya kawasan itu diteroka peneroka tegar yang mengusahakan tanaman pertanian dan peneroka baharu yang cuba meneruskan penerokaan haram itu.
Kawasan itu ditanam pelbagai spesies tanaman termasuk kelapa sawit manakala ada yang dibangunkan sebagai kawasan perkampungan.
“Jawatankuasa Penguatkuasaan Tanah Hutan Simpan Kekal di bawah Akta Perhutanan Negara ditubuhkan bagi mengatasi masalah itu,” katanya ketika ditemui pemberita di pejabatnya di Kompleks Kota Darul Naim, lewat petang semalam.
Beliau berkata, untuk mengatasi masalah itu syarikat-syarikat yang berminat digalakkan menghutankan semula kawasan yang diteroka haram itu dengan pokok hutan bersesuaian.
Zahari berkata bagi tujuan itu kerajaan negeri sudah meluluskan lesen kepada 2 syarikat iaitu Gunung Basor Enterprise dan Kundor Tegoh Solution Sdn Bhd membabitkan kawasan seluas 100 hektar.
“Bagi penerokaan tanah baharu secara haram, kami akan terus membasminya dengan memusnahkan tanaman yang ditanam seperti mana tindakan yang dijalankan ke atas ladang kelapa sawit di kawasan seluas 4 hektar di Gunung Rabung, Kuala Krai, baru-baru ini,” katanya.
Zahari berkata dalam operasi itu pihaknya bertindak meroboh pagar dan membuat parit halangan agar tidak boleh dimasuki kenderaan peneroka haram mengikut Seksyen 32 Akta Perhutanan Negara 1984.
Beliau turut menafikan dakwaan segelintir pihak yang mendakwa kelulusan projek pembangunan di kawasan teroka haram dalam kawasan Hutan Simpan Kekal seluas 1,697, hektar adalah tidak tepat dan penanaman durian kunyit di kawasan berkenaan merupakan projek perintis sebelum ia dilaksanakan lebih meluas.
Mengenai dakwaan yang mengatakan terdapat kelulusan Projek Pembangunan Kawasan Teroka Haram dengan tanaman spesies pokok durian kunyit di Hutan Simpan Sungai Brok, Zahari berkata, “hasil semakan mendapati dakwaan itu tidak tepat dan tidak berasas berikutan pelan kawasan yang dinyatakan adalah Hutan Simpan Ulu Galas.’
Zahari berkata semakan juga mendapati tiada sebarang arahan kepada Pejabat Hutan Jajahan Gua Musang dan Pejabat Renjer Hutan untuk melaksanakan semakan dan bancian dalam kawasan yang dimaksudkan.
Katanya, “Jabatan Perhutanan Kelantan mendapati dakwaan yang dikemukakan pihak tersebut mempunyai fakta-fakta yang mengelirukan dan tidak memahami proses kelulusan serta perlesenan pentadbiran perhutanan negeri.” - FMT.