t>

Breaking News

Batal Khidmat 'Flying Doktor' Kerana Kementerian Tiada Wang, Kami Sedih - Luah Sabah Air.





Perkhidmatan Doktor Udara (FDS) yang memberikan khidmat untuk kampung-kampung terpencil di kawasan luar bandar Sabah telah ditamatkan oleh Jabatan Kesihatan selepas memberikan khidmat selama 41 tahun. 


Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Sabah Air Aviation Sdn Bhd, Terry Chan yang mengesahkan berita ini menambah syarikat itu amat sedih dengan keputusan yang dibuat kerana ianya akan menjejaskan beribu-ribu penduduk luar bandar dari sembilan daerah di negeri ini.  “Saya amat sedih dengan keputusan tidak membaharui kontrak dengan Sabah Air kerana kita telah mengendalikan program ini lebih 40 tahun, tanpa mendapat keuntungan daripadanya,” kata Chan. 

Sebenarnya, kata beliau, setiap penerbangan sama ada memindah atau menyediakan perkhidmatan kesihatan dilakukan oleh syarikat itu dengan kos yang rugi. “Setiap penerbangan yang menggunakan helikopter jenis dua enjin sebenarnya menelan kos sekitar RM6,500 sedangkan Jabatan Kesihatan hanya perlu membayar RM4,250,” kata Chan. 

Satu surat telah dikeluarkan kepada Sabah Air memaklumkan bahawa kontrak dengan FDS dan Medevec tidak akan diperbaharui. Jabatan itu juga memberikan faktor kewangan sebagai alasan untuk mengakhiri perkhidmatan itu, kata Chan. “Bagaimanapun amat mengejutkan FDS di Sarawak masih lagi berjalan, dari itu perkhidmatan di Sabah juga perlu diteruskan,” katanya. 

Chan berkata beliau amat bersimpati dengan penduduk luar bandar terutama ibu-ibu mengandung yang lebih banyak bergantung perkhidmatan udara untuk mendapatkan rawatan kesihatan dan perubatan. Khidmat FDS dan Medevec ialah untuk memberikan bantuan perubatan setiap bulan kepada penduduk luar bandar disamping untuk menguruskan kes-kes kecemasan seperti ibu melahirkan anak terutama penduduk yang tidak mempunyai akses kemudahan perubatan. 

Ianya sudah berjalan sejak 1975 lagi. Satu lawatan oleh New Sabah Times ke Kg Perupuk, Pitas mendedahkan para penduduk menungguh setiap bulan untuk mendapatkan bekalan perubatan untuk sakit-sakit yang serius seperti tekanan darah tinggi, kancing manis dan juga penyakit-penyakit yang lain seperti batuk,selesema dan demam. 

Kanak-kanak sekecil berumur tiga tahun dan orang tua berusia 80 tahun, banyak bergantung dengan perubatan kesihatan bulan ini malah mereka juga terpaksa berjalan kaki berjam-jam untuk ke bandar yang berdekatan jika mereka terlepas perkhidmatan udara bulanan ini. 

Sesetengah mereka terpaksa menggunakan perahu di sungai sebagai pengangkutan menyeberangi sungai Bengkoka untuk sampai ke pekan dengan cepat. Menurut salah seorang doktor yang menyertai misi ini Dr Ajie Prasastie dari Tamparuli berkata FDS banyak membantu penduduk luar bandar meskipun ianya memberikan perkhidmatan yang terhad, sambil menambah mereka sering berdepan dengan kes-kes kronik darah tinggi yang sering melanda penduduk. “Mereka tidak dapat pergi ke klinik, jadi mereka terpaksa menunggu kami untuk datang memberikan mereka rawatan,” jelasnya. 

Salah seorang penduduk yang sering mendapat khidmat FDS ialah Dulanah Anayai, 30, yang membawa dua anaknya , Zedkarfiss, 6, dan Zefyabia, 3. “Saya mempunyai lima orang anak, tiga daripada mereka sedang bersekolah rendah. Mereka menggunakan bot untuk ke sekolah terletak di Kg Pinapak. Melalui sungai menggunakan bot lebih cepat dari menggunakan jalan raya yang memakan masa sejam untuk mereka sampai,” jelasnya. 

Zedkarfiss ketika mendapatkan rawatan sedang demam dan berhingus, dari itu ia memerlukan rawatan, kata Dulanah sambil memerhati Dr Ajie sedang memeriksa denyutan jantung dan suhu badan anaknya. 

Mudosoon Tuvavok,78, seorang lagi berbangsa Dusun Sandayou juga datang untuk mengambil bekalan ubat darah tinggi bulannya bersama-sama dengan isterinya. “Saya sudah berada di sini sepanjang hayat,” katanya sambil menambah dia tidak perlu ke pekan Pitas yang terlalu jauh untuk mendapatkan ubatnya. – NewSabahTimes