t>

Breaking News

Firma China Bangunkan Kuantan Waterfront Resort City, Projek Bernilai 15b.


Bina Puri Holdings Bhd dan firma China, CCCC Dredging (Group) Co Ltd memeterai perjanjian persefahaman (MoU) untuk menubuhkan konsortium bagi membangunkan projek Kuantan Waterfront Resort City di Pahang, dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM15 bilion.
Pengerusinya, Tan Sri Ir Wong Foon Meng, berkata kedua-dua syarikat terbabit masing-masing akan memegang 50 peratus kepentingan ekuiti dalam konsortium yang akan membangunkan projek berkenaan dalam tempoh selama 10 tahun.
"CCCC Dredging akan melaksanakan kerja menambak laut bagi projek berkenaan selama tiga tahun, sebelum Bina Puri meneruskan pembangunan terbabit.
"Kerja menambak laut akan bermula pertengahan tahun depan," katanya pada sidang media selepas majlis menandatangani MoU bagi kerjasama strategi antara Bina Puri dan CCCC Dredging di sini, hari ini.
Yang turut hadir, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai.
Mengulas lanjut, Foon Meng, berkata Kuantan Waterfront Resort City itu akan dibangunkan dalam empat fasa.
Katanya, fasa pertama yang merangkumi dua blok apartmen servis, 'waterfront' serta kompleks makanan dan minuman dengan GDV RM350 juta, mendapat sambutan menggalakkan dengan mencatatkan 70 peratus jualan, kebanyakannya daripada Pantai Timur.
"Fasa pertama sedang dalam pembinaan dan akan disiapkan pada suku pertama 2018," katanya.
Sementara itu, Tiong Lai berkata, beliau yakin Kuantan Waterfront Resort City juga akan menjadi penyumbang penting kepada pertumbuhan berterusan ekonomi di bandar Kuantan dan sekitarnya.
"Banyak kemajuan juga boleh dicapai dalam industri pelancongan di Kuantan," katanya.
Kuantan Waterfront Resort City seluas 202.34 hektar yang dibangunkan di tanah tambak Tanjung Lumpur, bakal menjadi resort bersepadu pertama percutian dan destinasi hiburan di Kuantan.
Ia terletak dua kilometer atau lima minit pemanduan dari bandar Kuantan.
Info
Kuantan Waterfront Resort City
* RM15 bilion GDV
* Terletak di Tanjung Lumpur, Kuantan
(Malaysianews)