t>

Breaking News

Penyelewengan Di Malaysia Makin Teruk - Projek Pasang Karpet Masjid Pun Ada Unsur Pecah Amanah.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Terengganu membuka 35 kertas siasatan berhubung penyelewengan pembekalan pemasangan karpet di beberapa masjid dan surau di negeri ini.

Pengarah SPRM Terengganu P Ganason berkata kertas siasatan itu kini di peringkat akhir sebelum diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya SPRM.



“Kira-kira 30 saksi terdiri daripada kakitangan Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT), orang awam dan kontraktor telah dipanggil bagi membantu siasatan sejak kita mendapat maklumat mengenai kes itu awal tahun ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis Pecah Tanah Projek Kompleks Pejabat SPRM Negeri oleh Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Dzulkifli Ahmad di Mukim Kubang Parit, dekat sini, hari ini.

Turut hadir Timbalan Ketua Pengarah Kerja Raya Sektor Bangunan Datuk Seri Amer Hamzah Mohd Yunus, Pengarah Jabatan Kerja Raya Negeri Terengganu Ab Hamid Md Daud dan Penasihat Korporat Serada Realty Sdn Bhd Tan Sri Abdullah Taib.

Selasa lepas, media melaporkan Pesuruhjaya JHEAT Datuk Wan Mohd Wan Ibrahim mendedahkan perkara itu yang melibatkan penyelewengan tuntutan keseluruhan bernilai lebih RM1 juta.

Dalam pada itu, Ganason memberitahu bahawa SPRM Terengganu membuka 51 kertas siasatan berhubung kes jenayah kolar putih melibatkan kes rasuah, penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa tahun ini.

“Daripada jumlah itu sebanyak 14 tangkapan telah dilakukan dan 19 individu telah dituduh di mahkamah,” katanya lapor FMT