t>

Breaking News

Ugutan Bunuh, KEADILAN Mahu Polis Cari Dalang.

Sebaran Segera

KENYATAAN MEDIA

KEADILAN MENGECAM UGUTAN BUNUH TERHADAP MARIA, AMBIGA

Pagi ini, saya dikejutkan dengan maklumat bahawa Puan Maria Chin Abdullah (Pengerusi BERSIH 2.0), tiga  orang anak beliau, sdr Mandeep Singh (AJK BERSIH 2.0), dan Dato' Ambiga Sreenevasan (Presiden HAKAM) telah menerima ugutan bunuh dari pihak yang tidak diketahui.

Mesej yang mereka terima adalah berbentuk gambar pemenggalan kepala oleh ISIS, di mana muka mangsa ISIS telah diubahsuai dengan muka Maria, Mandeep, dan Dato' Ambiga.

Perbuatan ini adalah satu bentuk ugutan jenayah yang wajib dikutuk oleh semua pihak tidak kira sama ada mereka bersetuju ataupun tidak dengan usaha BERSIH 2.0. Pada masa yang sama, saya menggesa pihak Polis Di-Raja Malaysia (PDRM) serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) segera melakukan siasatan, mengesan dan membawa ke muka pengadilan mereka yang telah melakukan ugutan jenayah ini, yang boleh disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksima dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Sekiranya pihak PDRM dan SKMM boleh mengesan dan menangkap individu seperti 'Ratu Naga' yang didakwa memuat naik gambar yang menghina Perdana Menteri dan isteri, saya percaya tidak menjadi masalah langsung untuk PDRM dan SKMM segera mengesan dan menangkap individu atau pihak disebalik sebaran gambar ugutan bunuh terhadap Maria, Mandeep dan Dato' Ambiga ini.

Saya menggesa dan mengajak rakyat Malaysia agar bersama mengecam dan menolak budaya politik berunsur jenayah seperti ini, dan mendoakan agar Maria sekeluarga serta sdr Mandeep dan Dato' Ambiga terus tabah.

Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail
Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia
Presiden KEADILAN

18 Oktober 2016