t>

Breaking News

Dadah Punca Utama Kadar Jenayah Meningkat, Kita Patut Contohi Filipina Atasi Masalah Dadah - Senator.

Penguatkuasaan lebih tegas perlu diambil terhadap individu yang terlibat dengan pengedaran dadah jika mahu mengurangkan kadar jenayah di negara ini.

Ahli Dewan Negara, Senator Shahahim Mohd Yusof berkata dadah terbukti menjadi punca utama kepada kes-kes jenayah termasuklah pembunuhan dan penderaan.

"Banyak kes melibatkan penyalahgunaan dadah seperti rogol, pembunuhan, pembuangan bayi, ragut, penderaan kanak-kanak yang dilaporkan media massa.


"Dalam hal ini, kita boleh mencontohi Filipina yang tegas memerangi dadah secara besar-besaran," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Sambutan Hari Kanak-Kanak Sedunia Peringkat Kebangsaan anjuran Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram), di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Sultan Abdul Halim di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kejadian penderaan kanak-kanak yang berlaku di Flat Paya Nahu, baru-baru ini, sehingga menyebabkan kematian seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun.

Hadir sama, Pengerusi Biro Pembangunan Dan Pembelaan Kanak-kanak, Wanita Ikram Malaysia, Haliza Abdul Malek.

Shahanim berkata beliau akan mengusulkan perkara itu di Parlimen kerana pengaruh dadah kini sudah menular kepada golongan muda khususnya pelajar sekolah.

"Kajian terkini mendapati ramai pelajar tingkatan lima terlibat dengan penyalahgunaan dadah, dan Kedah antara negeri yang mencatatkan jumlah kes dadah tertinggi.

"Keadaan ini amat membimbangkan, justeru penglibatan semua lapisan masyarakat termasuklah ibu bapa dan badan bukan kerajaan (NGO) perlu jika mahu gejala dadah dibanteras," katanya.

Beliau menasihatkan jiran dalam sesebuah komuniti perlu lebih prihatin dan memainkan peranan dengan mengawasi aktiviti anak-anak muda di kawasan masing-masing.

-- BERNAMA