t>

Breaking News

Dana Gelap Di Jabatan Perdana Menteri?- Liew Chin Tong

Jabatan Perdana Menteri (JPM) akan menerima sejumlah RM15.94 bilion peruntukan daripada Bajet 2017 dengan perbelanjaan pengurusan dan pembangunan masing-masing RM4.92 bilion dan RM11.01 bilion.
Saya menyifatkan jumlah ini terlampau besar, lebih-lebih lagi apabila peruntukan untuk kementerian-kementerian lain seperti kesihatan, pendidikan, kebajikan dan kepolisan dipotong.


Kelmarin saya menerima jawapan bertulis daripada Menteri di JPM, Datuk Seri Azalina Othman Said berhubung soalan saya mengenai hal ini.
Beliau menyatakan, peruntukan RM11.01 bilion untuk perbelanjaan pembangunan akan disalurkan menerusi 31 bahagian di JPM yang bakal terlibat dengan Rancangan Malaysia ke-11 (pusingan kedua) seperti yang telah diluluskan oleh Unit Perancang Ekonomi.
Dalam jawapan bertulis itu juga, beliau memberitahu terdapat keseluruhan 92 unit di JPM, 57 bahagian, 10 badan berkanun, 13 syarikat, lima agensi pembangunan koridor, lima badan asasi dan dua organisasi antarabangsa.
Menjadikan jumlah 92 unit ini sebagai hujah untuk "menghalalkan" peruntukan besar kepada JPM, bagi saya, adalah amat dangkal.
Sejak awal lagi, saya berpendapat bahawa kerajaan tidak perlu mewujudkan terlalu banyak agensi bawah seliaan JPM. Secara tidak langsung, hal ini akan menghakis peranan kementerian-kementerian sedia ada.
Sebagai contoh, Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) tidak wajar berada bawah JPM tatkala di sana sudah ada Kementerian Pengangkutan.
Bahkan saya telah menimbulkan isu sejumlah peruntukan di JPM yang saya sifatkan sebagai "dana gelap" apabila ia tidak wujud sebelum ini selain di era pentadbiran Datuk Seri Najib Razak sebagai perdana menteri.
Saya tidak akan mengulas lanjut hal itu di sini tetapi cukuplah saya anggap ia sebagai dana yang diperlukan Najib untuk tujuan kepentingan survival politik beliau.
Biarpun jumlah RM15.94 bilion peruntukan untuk JPM bagi tahun 2017 adalah lebih kecil berbanding RM20 bilion pada tahun 2016, ia masih perlu dibendung.
Hakikatnya, JPM telah mengambil sejumlah 6.1 peratus daripada keseluruhan jumlah Bajet 2017 berbanding 3.4 peratus pada 2008.
Dalam Bajet 2017, hanya 18 peratus iaitu RM48 bilion diperuntukkan untuk keseluruhan perbelanjaan pembangunan. Hal ini akan mengakibatkan projek-projek menaik taraf jalan raya, hospital dan sebagainya mungkin berhadapan kesukaran.
Tetapi dalam keterhadan sebegini pun, JPM mengambil sejumlah 23 peratus daripada keseluruhan peruntukan untuk perbelanjaan pembangunan berbanding 8.1 peratus pada 2008.
Hal ini memberi gambaran kepada kita bahawa JPM telah mengambil sejumlah peruntukan yang tidak wajar yang sepatutnya diberikan kepada kementerian-kementerian lain untuk disalurkan manfaatnya kepada rakyat.
Sebelum bermulanya sidang parlimen kali ini, saya telah mengemukakan satu usul yang dipaparkan sebagai perkara 27 seperti berikut:
27. PR-1343-U77348 Tuan Liew Chin Tong [Kluang] akan mencadangkan: "Bahawa Dewan ini bersetuju mengurangkan peruntukan untuk JPM dan menyalurkan kepada peruntukan bagi hal ehwal pendidikan, pengangkutan awam, kesihatan dan kebajikan rakyat.
"Peruntukan untuk Jabatan Perdana Menteri telah dihadkan tahapnya pada tahun 2008 iaitu masing-masing sebanyak RM3.4 bilion bagi peruntukan pengurusan dan RM3.5 bilion untuk pembangunan. Ini membawa kepada jumlah keseluruhan sebanyak RM6.9 bilion.
"Berbanding 2016, anggaran peruntukan pengurusan dan pembangunan telah melepasi tahap ditetapkan pada 2008 tersebut iaitu masing-masing sebanyak RM5.9 bilion dan RM14 bilion yang membawa kepada jumlah keseluruhan RM20 bilion."
Saya tidak menjangkakan usul ini akan dibahaskan. Namun secara prinsip, membendung perbelanjaan JPM adalah suatu keperluan mendesak dalam memastikan dana-dana ini dimanfaatkan sepenuhnya untuk kepentingan rakyat melibatkan kesihatan, pendidikan, pengangkutan, keselamatan dan sebagainya.
* Liew Chin Tong, ahli parlimen Kluang, adalah pengarah pendidikan politik DAP 
Sumber : Projek MMOnline (Malay Mail BM)