DBKL Lantik Kontraktor Tak Layak, Bermasalah Sehingga 4 Projek Lambat Siap - Laporan Audit Negara.

Empat projek bagi tarikan pengunjung di ibu negara bernilai RM46.5 juta tidak siap mengikut jadual antaranya kerana pelantikan kontraktor yang tidak layak dan tidak berpengalaman, menurut Laporan Ketua Audit Negara 2015 Siri 2. 

Projek Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang lewat disiapkan itu ialah Kerja Pengindahan KL Heritage Trail 1, Menghidupkan Semula Medan Pasar dan Dataran Merdeka bernilai RM18.58 juta. 



Kerja pengindahan KL Heritage Trail 3 (RM11.52 juta); Kerja Meroboh Struktur Air Pancut Periuk Kera dan Membina Jam Kira Detik 2020 di Persimpangan Jalan Raja dan Jalan Parlimen (RM9.7 juta) serta Menaik Taraf Masjid Jamek (RM6.7 juta). 

Menurut laporan yang dikeluarkan hari ini, ada projek yang lewat sehingga 482 hari manakala ada yang belum siap sehingga kini biarpun ia sepatutnya disiapkan pada bulan Ogos 2014.

Antara alasan yang diterima ialah kekerapan perubahan reka bentuk, kelewatan pengalihan kemudahan utiliti, dan banjir di tapak binaan. 

Kesemua projek itu adalah projek di bawah Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) Greater Kuala Lumpur/Klang Valley. 

Bagaimanapun pihak Audit memuji DBKL bagi prestasi kewangan untuk keempat-empat projek tersebut yang memuaskan. - BERNAMA

Share this :

Previous
Next Post »