t>

Breaking News

Kerajaan Akan Ambil Tanggungjawab Bawa #RUU355 - Jamil Khir.

Kerajaan akan mengambil tanggungjawab membawa pindaan Rang Undang-Undang persendirian bagi meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau RUU 355, setelah segala urusan di Dewan Rakyat selesai.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, pihaknya akan memperhalusi secara rapi cadangan pindaan ini dengan mengambil kira pandangan semua pihak yang berkepentingan termasuklah rakyat bukan Islam meskipun hakikatnya, Akta 355 tidak melibatkan mereka sebagaimana yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
Sehubungan itu, beliau berkata, Kerajaan mengalu-alukan sebarang cadangan untuk memperkasa dan menambah baik institusi mahkamah Syariah termasuklah usul persendirian berkenaan.
“Kerajaan mengambil berat usul persendirian yang dibentangkan oleh Ahli Parlimen Marang yang mencadangkan Rang Undang-Undang Ahli Persendirian bagi meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 [Akta 355].
“Sebagaimana yang telah ditetapkan dalam tatacara dan peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat, setelah segala urusan dewan selesai, Kerajaan akan mengambil tanggungjawab membawa RUU ini,” katanya.
Abdul Hadi yang juga Presiden PAS, hari ini telah membentangkan usul RUU 355 di Dewan Rakyat.
Bagaimanapun, penerangan lanjut serta perbahasannya ditangguhkan ke sidang akan datang pada Mac 2017.
Beliau berkata, penangguhan itu bertujuan membolehkan pindaan RUU 355 dilakukan pada tahun hadapan kerana terdapat unsur polemik di kalangan masyarakat walaupun akta itu membabitkan umat Islam dan Majlis Raja-raja.- ISMAWEB.