t>

Breaking News

Najib Failkan Bantahan Sekat Permohonan Azmin Cabar OSA Ke Atas #1MDB - Kenapa Najib Takut?

Datuk Seri Najib Razak dan 2 pihak lagi akan memfailkan bantahan awal terhadap permohonan kebenaran semakan kehakiman difailkan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
Ia bertujuan bagi mencabar keputusan Ketua Audit Negara yang mengklasifikasikan Laporan Ketua Audit Negara ke atas 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sebagai rahsia rasmi.
Perkara itu dimaklumkan Peguam Kanan Persekutuan, Suzana Atan kepada pemberita selepas pengurusan kes tersebut dalam kamar Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Hanipah Farikullah hari ini.
Suzana mewakili perdana menteri, Ketua Audit Negara, Tan Sri Amrin Buang serta kerajaan Malaysia sebagai responden pertama, ke-2 dan ke-3.
Suzana berkata bantahan awal itu akan difailkan dalam masa terdekat. Katanya, mahkamah menetapkan 18 November ini untuk pengurusan kes berkenaan.

Dalam permohonan yang difailkan pada 15 Ogos lepas, Azmi menuntut suatu deklarasi tindakan responden pertama mengklasifikasikan laporan mengenai 1MDB sebagai rahsia rasmi adalah suatu tindakan dalam konflik kepentingan.
Menteri besar Selangor dan timbalan presiden PKR itu juga menuntut suatu deklarasi klasifikasi laporan 1MDB sebagai rahsia rasmi oleh responden kedua adalah menyalahi undang-undang dan ultra vires Perlembagaan Persekutuan, Akta Rahsia Rasmi (OSA) dan/atau Akta Audit 1957.
Selain itu, beliau juga menuntut suatu perintah “mandamus” bagi memaksa semua responden, pekerja-pekerja, pegawai-pegawai, ejen-ejen atau dengan apa jua cara dengan serta-merta untuk mengklasifikasikan semula Laporan 1MDB menurut Seksyen 2C OSA 1972 dan menyiarkannya kepada orang ramai.
Azmin mengemukakan tuntutan berkenaan dengan alasan keputusan mengklasifikasikan laporan 1MDB sebagai rahsia rasmi adalah tidak berpelembagaan kerana melanggar Perkara 107 Perlembagaan Persekutuan.
Dakwanya keengganan responden mengklasifikasikan semula laporan berkenaan adalah tidak munasabah.