t>

Breaking News

Boleh Keluar Parti Jika Enggan Terima Mahathir - DAP.

Mereka yang tidak boleh terima gaya demokrasi DAP boleh keluar parti, kata timbalan setiausaha agungnya selepas seorang ahli meletak keahlian kerana kerjasama dengan Tun Dr Mahathir Mohamad.
P Ramasamy berkata ahli parti bebas untuk membantah namun ketidakpuasan hati mereka tidak mencerminkan parti secara keseluruhan.

Beliau menolak dakwaan DAP mengorbankan prinsip, kerana mereka sekadar bekerjasama untuk menewaskan BN dalam pilihan raya umum akan datang.
“Politik adalah seni kemungkinan,” tegas Ramasamy. “Kita perlu kumpulkan kekuatan semua orang untuk pastikan Umno dan BN tewas pada pilihan raya nanti. Jadi dimana salahnya?
“Kami masih berprinsip. Menjadi sekutu orang yang juga mahu menjatuhkan rejim yang korup tidak bermakna kami mengorbankan prinsip.”
“Orang itu (yang mahu menewaskan BN) perlu dihalau atau disambut dengan tangan terbuka?” kata Ramasamy selepas perasmian program Pengubahan Francais Perusahaan Kecil dan Sederhana di Hotel Sunway, Seberang Jaya.
Baru-baru ini, Shamsher Singh Thind dari bahagian Taman Chai Leng meletak keahlian susulan hubungan baik antara DAP dan Dr Mahathir.
Shamsher berkata DAP harus menuntut Dr Mahathir memohon maaf atas kesalahan lampau.
Lebih-lebih lagi apabila semua dakwaan yang dilemparkan pimpinan pembangkang dan DAP terhadap Dr Mahathir boleh dikumpul menjadi satu tesis, katanya.
Ramasamy akui ramai pimpinan pembangkang yang teraniaya semasa negara di bawah pemerintahan Dr Mahathir.
“Bekas ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim menderita, tetapi isteri hari ini boleh menerima beliau.
“Lim Kit Siang, Lim Guan Eng dan mendiang Karpal Singh juga menderita, tetapi Kit Siang sudah maafkan beliau.
“Jadi mengapa orang lain tidak boleh bersikap terbuka dan memaafkan Mahathir?” soal Ramasamy.
Ramasamy berkata tidak seorang ahli yang tidak diperlukan, tetapi DAP perlu bergerak ke hadapan demi negara.



Guan Eng tegur perwakilan cemuh Dr Mahathir.

 

Pemimpin akar umbi DAP membidas kepimpinan parti kerana bekerjasama dengan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang kemudiannya ditegur Setiausaha Agung, Lim Guan Eng.
Pensyarah undang-undang, Shamsher Singh Thind, perwakilan cawangan Chai Leng Park berkata memikiran kerjasama DAP dengan Dr Mahathir serta Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dan partinya, Pribumi Bersatu, adalah amat dikesali.
Memetik penjelasan Lim mengenai kerjasama dengan PPBM, Shamsher berkata: “Jawapan paling bodoh pernah saya dengar dalam mempertahankan sokongan terhadap Dr Mahathir adalah ‘Musuh kepada musuh saya adalah kawan saya’”
Beliau menyifatkannya cadangan Dr Mahathir agar Presiden PPBM Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri jika pakatan pembangkang menang pilihan raya umum adalah “memalukan”.
Cemuhan sokongan DAP terhadap Muhyiddin, Shamser membangkitkan sokongan bekas pemimpin Umno itu berhubung novel kontroversi Interlok dalam kurikulum sekolah.
“Dalam novel itu, India dipanggil paria. Dan apa Muhyiddin kata? Beliau berkata ia okay dan sebahagian daripada sejarah. Dan apabila (Ketua Parlimen DAP) Lim Kit Siang bertanya sama ada Muhyiddin rakyat Malaysia dahulu, Muhyiddin berkata beliau Melayu dahulu,” kata Shamsher pada persidangan perwakilan tahunan DAP Pulau Pinang.
Shamsher memetik cerita dongeng Aesop si petani dan ular, seseorang yang digigit ular selepas merawatnya. “Ular ini adalah Dr Mahathir,” katanya.
“Hey anda veteran, tidakkah anda malu dengan diri sendiri? Apabila kami berjuang untuk mengalahkan Dr Mahathir, yang diisytiharkan musuh, kini anda bersahabat? Beliau seperti bapa ayam!” kata Shamsher kepada barisan kepimpinan yang terkejut di atas pentas.
Dalam satu tindakan luar biasa, Guan Eng, menghenti Shamsher pada ketika ini, meminta beliau menarik balik perkataan “ular” dan “bapa ayam”, mengingatkan Shamsher DAP tidak merendahkan martabah dengan menggunakan kata-kata menghina.
“Kita boleh mengkritik. Janganlah kita mengikut gaya BN, Jamal (pemimpin Baju Merah) dan lain-lain. Anda tidak sepatutnya menggunakan perkataan seperti ‘bapa ayam’ dan ‘ular’. Apabila mereka merendahkan taraf diri, kita perlu tinggikan diri kita,” kata Lim.
“Anda adalah seorang pensyarah, saya pasti anda tidak akan menggalakkan pelajar anda bercakap seperti itu? Anggap ini sebagai dewan kuliah. Tunjukkan yang anda seorang lelaki berjiwa besar dan tarik balik kata-kata itu, dan anda boleh teruskan mengkritik sesiapa sahaja yang anda mahu.”
Dalam pembelaannya, Shamsher berkata beliau menggunakan perkataan sebagai perumpamaan semata-mata, dan menegaskan Lim tidak mempunyai hak mengganggu ketika beliau berucap dalam perbahasan.
“Saya tidak akan menarik balik. Hanya speaker konvensyen (Wong Shu Qi, Adun Senai) mempunyai hak untuk berbuat demikian. Saya tidak akan menarik balik walaupun beliau meminta saya berbuat demikian,” kata Shamser. Wong terus berdiam pada ketika ini.
Selepas Guan Eng mencelah, Shamsher kemudian berkata: “Maaf jika menyinggung perasaan sesiapa, tetapi saya berharap mesej saya jelas.”
Sebagai tindak balas kepada kenyataan Shamsher, ahli jawatankuasa parti negeri RSN Rayer berkata Shamsher patut memaafkan dan melupakan, sama seperti ahli-ahli kanan parti lakukan.
“Mendiang Karpal Singh berkata dalam politik tidak ada kawan dan musuh yang kekal tetapi prinsip akan kekal. Malah Kit Siang yang dipenjarakan di bawah undang-undang keselamatan dalam negeri selama 2 tahun, boleh menyokong Dr Mahathir, mengapa tidak anda?” kata Rayer.

Sumber : Free Malaysia Today.