t>

Breaking News

Jangan Bertanding Di Permatang Pauh, Jangan Kelirukan Pengundi - Nurul Izzah Nasihati PAS.

Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar menasihati PAS supaya berfikir kembali untuk bertanding di kerusi Permatang Pauh.
Ia kerana katanya, PAS seharusnya perlu fokus melawan Barisan Nasional dan tindakan tersebut hanya akan mengelirukan pengundi di kawasan itu.
“Saya rasa dia (PAS Permatang Pauh) patut fikirkan semula keputusan mereka dan fokus berlawan BN.
“Kalau tak, nanti pengundi akan keliru dengan tindakan mereka,” katanya kepada pemberita selepas perasmian konvensyen AMANAH di Pusat Konvensyen Shah Alam hari ini.
PAS Permatang Pauh dilaporkan mahu bertanding di kawasan parlimen itu dan semua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) bawahnya dalam pilihan raya umum depan.
DUN di kawasan itu adalah Seberang Jaya, Penanti, Permatang Pasir.
Ketua Penerangan PAS Permatang Pauh Jamsari Samad dilaporkan berkata umum mengetahui kerusi untuk ketiga-tiga DUN dan parlimen Permatang Pauh dimiliki oleh PAS.
Namun, katanya lagi, atas semangat toleransi, PAS memberi keizinan kepada PKR untuk meletakkan calon.
Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail kini merupakan ahli Parlimen Permatang Pauh.
Dr Wan Azizah menyertai pilihan raya pertama bagi kerusi Parlimen Permatang Pauh pada 1999, di mana beliau menewaskan Datuk Seri Ibrahim Saad dengan majoriti 9,077 undi.
Beliau berjaya mengekalkan kerusi tersebut pada 2004 dan 2008.
Namun, Dr Wan Azizah meletak jawatan pada Julai 2008 bagi memberi laluan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Anwar kemudiannya memenangi kerusi itu namun beliau hilang kelayakan ahli parlimen selepas disabitkan atas pertuduhan liwat dan kini sedang menjalani hukuman penjara lima tahun.
Tahun lalu, Wan Azizah bertanding sekali lagi dan menang pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Permatang Pauh.
Terdahulu, Parti Amanah Negara (AMANAH) Pulau Pinang dilaporkan turut berminat bertanding di Permatang Pasir yang selama ini menjadi kubu kuat PAS. - Malaysiakini