t>

Breaking News

Pas Sibuk Dengan #RUU355 Sampai Abaikan Hak Orang Asli - Amanah.

Perwakilan Amanah hari ini membidas tindakan kerajaan PAS Kelantan yang terlalu lantang memperjuangkan Rang Undang-undang (RUU) Persendirian pindaan Akta Mahkamah Syariah (RUU355), tetapi mengabaikan hak tanah adat Orang Asli di Gua Musang.
Perwakilan Kelantan, Che Ibrahim Muhammad ketika berucap pada Konvensyen Amanah hari ini berkata Orang Asli mempunyai hak untuk memiliki tanah seperti kaum lain.
“Orang Asli ada hak untuk memiliki tanah, sebagaimana hak bangsa lain walaupun ada kekangan dan halangan dalam Enakmen Rizab Melayu atau Kanun Tanah Negara.
“Bila kita bercakap soal peraturan, hari ini sibuk dihebohkan dengan RUU355, kita desak kerajaan menerima pakai undang-undang syariah atau undang-undang jenayah Islam sebagi undang-undang jenayah negara.
“Tetapi mengapa bila berbicara soal hak memiliki tanah Orang Asli, kita hanya rujuk Enakmen Rizab Melayu,” katanya ketika membahaskan usul membela hak orang Asli dan alam sekitar Kelantan yang dibawa perwakilan Wanita Amanah.
Ibrahim berkata sebagai parti yang dikatakan memperjuangkan Islam tidak sepatutnya hak peribumi Orang Asli untuk mendapat tanah adat dinafikan.
“Di mana Islam yang kita katakan dasar perjuangan kita. Ketika mendesak masyarakat terima RUU355 semata-mata untuk hukum kesalahan zina dan minum arak, ikut Islam.
“Tapi pada masa yang sama kita nafikan hak peribumi untuk memiliki dan menduduki tanah.
“Saya harapkan Amanah boleh ambil kira pandangan ini sebagai penyelesaian kepada masyarakat Orang Asli,” katanya.

Sementara itu, perwakilan Pemuda itu ketika membahaskan usul mendesak semua negeri mengiktiraf hak tanah adat Orang Asli, bukannya hanya di Kelantan saja.
“Kita minta semua negeri termasuk Pahang, Selangor dan Johor mengiktiraf hak Orang Asli,” katanya.
Minggu lalu seramai 54 Orang Asli ditahan pihak berkuasa negeri Kelantan kerana memasang sekatan menghalang pembalak masuk ke kawasan hutan di Gua Musang. - FMT