t>

Breaking News

Surat Terbuka Kepada Musa Aman - Apa Citer Skandal Jabatan Air Di Sabah? Kenapa Senyap?

SURAT TERBUKA KEPADA REJIM MUSA AMAN DI SABAH 

Musa Aman, aku sebagai rakyat tidak akan lupa peristiwa menjadi tahanan politik kau dan rejim Barisan Nasional (BN) di lokap Jinjang, Kuala Lumpur dan lokap Tawau Sabah. 

8 hari penangkapan dan penahanan aku ini adalah kemenangan gerakan rakyat kerana akhirnya, mesej perlawanan kami untuk menumbangkan kuasa rejim kau bertapak kukuh di Sabah. 

Musa Aman, Aku dan rakyat Sabah tidak akan menyerah kepada takdir untuk dipimpin dan diperintah oleh penguasa perompak wang rakyat Sabah. 


Kami anak-anak Sabah tidak akan duduk diam. Perlawanan ini adalah antara penguasa perompak wang rakyat yang masih bebas dan rakyat bawahan yang dirompak wang pembangunan untuk kemajuan mereka di Sabah. 

Musa Aman, aku dan rakyat Sabah ingin tegaskan. Sistem yang kau cipta di Sabah adalah sistem memiskinkan rakyat dan ia hanya untuk memperkayakan kau dan keluarga kau serta kawan-kawan kapitalis kau. 

Sistem yang kau cipta ini hanya untuk membodohkan rakyat kau dan kau tidak mahu rakyat kau pandai hanya kerana kau mahu berkuasa sehingga mati. 

Musa Aman, polisi dan dasar ekonomi yang kau cipta di Sabah hanyalah untuk syarikat kau, syarikat keluarga kau dan syarikat kroni kau. 

Kau dan BN biarkan rakyat Sabah ini menjadi rakyat paling miskin di dalam Malaysia walaupun kami tahu sumber ekonomi kami sangat kaya. 

13 tahun kau jadi Ketua Menteri Sabah kami, 70% rakyat masih kekal miskin dan mengemis. Maka, kami mahukan pemimpin yang kasihi rakyatnya miskin. 

Kami mahu pemimpin yang mahu memajukan ekonomi rakyatnya. Dan kami tidak mahu lagi pemimpin yang tamak mengumpul harta kekayaan dirinya sahaja. 

Musa Aman, antara aku yang berstatus rakyat bawahan yang kau tangkap tanpa ada kesalahan undang-undang, segala skandal rasuah kau jauh lebih jelas buktinya tapi kau tidak ditangkap. 

Sebab apa? Kau mencipta sistem untuk melindungi diri kau daripada ditangkap oleh SPRM dan Polis yang sudah lama mahu tangkap kau. 

Jika kau sebagai pemimpin tidak boleh dikritik, sila berhenti salah guna kuasa kau untuk memiskinkan Sabah yang kami cintai ini. Jika kau tidak mahu dinasihati oleh rakyat kau untuk berhenti merompak sumber ekonomi Sabah, sila berhenti jadi pemimpin kami. 

Musa Aman, bukti skandal rasuah kau yang dikaitkan dengan merompak wang kayu balak di Sabah ada dengan rakyat kau sehingga fakta ini dipegang oleh perisik maklumat antarabangsa. 

Konco-konco kau secara terang-terangan terlibat dalam skandal merompak wang Jabatan Air rakyat Sabah sehingga kau boleh gembira bergambar dengan Timbalan Pengarah kau dan tauke syarikat kesayangan kau yang menyimpan duit rakyat dalam kabinet itu. 

Tapi kau bebaskan mereka, kau biarkan mereka berkerja semula dan kau biarkan mereka dapat duit projek baru pula atas kelulusan cop mohor kau. 

Terbaliknya undang-undang rejim kau. Aku dan rakyat Sabah yang mendesak perompak wang rakyat untuk ditangkap akhirnya rakyat tidak bersalah ini ditangkap oleh kau! 

Musa Aman, 

Pernahkah kau baca akan pesanan Tuhan kita? Pemimpin yang zalim kepada rakyatnya akan dihumban ke neraka jahanam. Rakyat yang taat dengan pemimpin sebegini juga akan dihumban sama ke neraka jahanam ini. 

Aku sebagai rakyat tidak mahu bersekongkol dengan kerja-kerja pemimpin perompak wang rakyat. Aku mahu masuk syurga kerana berkata benar di hadapan Tuhan kita bahawa kau adalah pemimpin zalim kepada rakyat kau di Sabah yang wajib dilawan atas nama kebenaran. 

Musa Aman, sebagai tahanan politik kau bermula 9 November 2016 sehingga 15 November 2016, hari ini aku dan anak-anak Sabah akan terus bangkit lawan kau. 

Aku dan majoriti rakyat Sabah mahu tumbangkan kuasa kau di jalan demokratik ini untuk turunkan kau daripada tampuk kuasa! Aku yakin. 

Walaupun tugas ini paling sukar, tapi tiada mustahil untuk menang dalam perlawanan ini. Jika rakyat tewas di tangan kau, Allah akan matikan kau dan aku. 

Di akhir kehidupan, kami akan pastikan kau tidak akan terlepas di padang mahsyar Allah! Akhir sekali, aku tidak pernah takutkan rejim kekuasaan kau wahai Musa Aman. 

Kau bukan Tuhan aku untuk menghancurkan masa depan rakyat kau yang berani lawan kezaliman dan salah guna kuasa kau. Kau manusia biasa dan aku juga manusia biasa. 

Maka, Tuhan aku adalah Allah. Allah. Allah. Kau sebagai Musa Aman dan Barisan Nasional bukan Tuhan aku! . 

#TUMBANGREJIMMUSAAMAN 
#TUMBANGREJIMUMNOBNSABAH 
#SELAMATKANSABAH . 

Jufazli Shi Ahmad 
Pengasas Gerakan Anak Muda Selamatkan Sabah, 
Kelulusan Master Bidang Sains Politik, UKM (2015), 
Kelulusan Sarjana Muda Bidang Sejarah, UMS (2012), 
Pelajar Cemerlang STPM Negeri Sabah (2008).