Anak Syarikat Rugi RM155j, Berhutang RM154j Dan Tanggung Keluarga Guna Wang Rakyat - Apa Sudah Jadi Dengan FELDA?

ANAK SYARIKAT MILIK PENUH FELDA (FELDA WELLNESS CORPORATION) RUGI RM155 JUTA, BERHUTANG RM154 JUTA DAN DIDAKWA GUNA WANG RAKYAT TANGGUNG PERBELANJAAN KELUARGA 


Penyelewengan wang Felda yang dikumpul hasil dari titik peluh peneroka dan rakyat biasa sebenarnya lebih besar dari yang dilaporkan setakat ini. 

Sebab itu, saya telah menyatakan bahawa saya tidak akan berhenti sehingga individu-individu yang terbabit dari yang paling atas hingga ke bawah di bawa ke muka pengadilan kerana mereka memakan wang rakyat. 

Sikap acuh tidak acuh Tan Sri Shahrir Samad setakat ini menunjukkan beliau tidak serius untuk menyelamatkan Felda. 

Saya masih berpegang kepada pendirian bahawa pelantikan Tan Sri Shahrir Samad hanya untuk meredakan kemarahan peneroka Felda kerana PRU14 bakal berlaku dalam tempoh yang dekat. 

Salah satu dari kerugian yang paling memualkan ialah melibatkan sebuah syarikat yang bernama Felda Wellness Corporation Sdn Bhd. 

Ia anak syarikat milik penuh Felda yang menyuntik RM5 juta tunai sebagai modal awal syarikat ini (rujuk carian Suruhanjaya Syarikat Malaysia yang saya sertakan). Felda Wellness Corporation Sdn Bhd ditubuhkan pada 17 Julai 2013 iaitu selepas kemenangan Barisan Nasional dalam PRU13. 

Maka, sejak ditubuhkan ia hanya beroperasi sekitar dua tahun setengah sebelum ia diisytiharkan muflis pada awal Mac 2016 setelah Mahkamah Tinggi membenarkan saman tuntutan hutang oleh sebuah syarikat farmaseutikal dari Australia bernama Gordagen Pharmaceuticals Pty Ltd. 

Gordagen Pharmaceuticals telah menuntut hutangnya sebanyak AUD$652,083.60 (bersamaan RM2.1 juta) dari Felda Wellness Corporation yang tidak dibayar. 

Setelah Berjaya mendapat arahan memufliskan Felda Wellness Corporation, Gordagen Pharmaceuticals mengeluarkan kenyataan di laman webnya (http://www.gordagen.com/index.php/27-home/news/156-gordagen-successful-in-securing-winding-up-order-against-felda-wellness-corporation) yang saya rumuskan di sini: 

i. Gordagen telah berkali-kali menuntut hutangnya selama 14 bulan tetapi tidak dihiraukan oleh pengurusan Felda Wellness Corporation 

ii. Hutang Felda Wellness Corporation kepada Gordagen adalah bagi perkhidmatan yang termaktub di dalam perjanjian-perjanjian yang dimeterai atas persetujuan dan arahan bekas Ketua Pegawai Eksekutif Felda Wellness Corporation, Mohd Nasir bin Shafion dan bekas Ahli Lembaga Pengarah Felda Wellness Corporation, Muhammad Sufi Mahbub yang juga bekas Timbalan Ketua Pengarah Felda 

iii. Salah satu dari perjanjian itu menetapkan bahawa dana dari Felda Wellness Corporation digunakan untuk membayar gaji dan kos sara hidup anak kepada Muhammad Sufi Mahbub (iaitu Athirah Sufi) di Australia (Saya sertakan kenyataan penuh Gordagen di sini). 

Semakan dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia menunjukkan rekod kewangan terkini Felda Wellness Corporation seperti berikut: 

i. Setelah beroperasi selama dua tahun setengah, jumlah kerugian terkumpul adalah RM155 juta, iaitu RM74 juta dalam tempoh kewangan pertama dan RM81 juta dalam tahun kedua 

ii. Jualan oleh syarikat ini hanyalah RM2 juta bagi tahun berakhir 31 Disember 2015, sedangkan bekas Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohd Nasir bin Shafion pernah mendabik dada dalam satu kempen yang dilancarkan sendiri oleh Tan Sri Isa Samad pada 13 November 2015 bahawa Felda Wellness Corporation mensasarkan hasil jualan RM100 juta dalam tempoh tiga tahun dan bakal menjadi penyumbang terbesar kepada pelaburan Felda agar ia tidak lagi bergantung kepada hasil kelapa sawit semata-mata (rujuk laporan The Star http://www.thestar.com.my/business/business-news/2015/11/13/felda-wellness-targets-rm100mil-sales-in-three-years/ yang dilampirkan) 

iii. Jumlah hutang pada ketika syarikat ini diisytiharkan muflis adalah RM154,098,296 yang saya syaki sebahagian besarnya hutang kepada anak-anak syarikat Felda yang lain.

Saya tahu satu laporan polis telah dibuat terhadap individu tertentu yang dinamakan di atas tetapi sehingga kini semakan saya menunjukkan tidak ada satu keputusan atau hukuman telah dibuat. 

Apa perasaan peneroka-peneroka apabila mereka tahu segelintir pegawai kanan Felda membelanjakan RM155 juta wang mereka dalam tempoh 2 tahun setengah, termasuk untuk membiayai kehidupan selesa anak kepada bekas Timbalan Ketua Pengarah Felda? 

Budaya ini akan terus berlaku kerana pegawai-pegawai akan melihat ke atas dan jika mereka merasakan kepimpinan kerajaan dan orang politik di dalam Felda tidak telus dan tidak membanteras rasuah, mereka juga akan terikut-ikut kerana “bapak borek, anak rintik”. 

Saya akan menunggu helah baru Tan Sri Shahrir Samad untuk mengelak dari berdepan dengan isu ini.  

RAFIZI RAMLI 
AHLI PARLIMEN PANDAN 
NAIB PRESIDEN KEADILAN

Share this :

Previous
Next Post »