t>

Breaking News

Demi Lindungi Anak, Bapa Ini Rela Dipenjarakan 40 Tahun - #Global

ALABAMA - AMERIKA SYARIKAT. Seorang bapa tidak sanggup melihat anaknya menderita akibat dicabul ketika kanak-kanak rela meringkuk dipenjara selama 40 tahun kerana membunuh pelaku terhadap anaknya itu. 


Jay Maynor, 43, menembak mati pelaku yang mencabul anak perempuannya ketika dia kecil kerana tidak tahan melihat penderitaan yang masih ditanggung anaknya, Julia Maynor walaupun selepas berbelas tahun insiden berkenaan berlaku. Julia baru berusia 4 tahun ketika Raymond Earl Brooks yang juga bapa angkat kepada ibunya mula mencabulnya. 

Raymond yang juga datuk angkatnya itu mendera Julia beberapa kali sehingga usianya 8 tahun. 

Raymond cuba membuatkan Julia percaya perbuatannya itu adalah normal dan memberitahu dia adalah istimewa, namun Julia tetap memberanikan diri bersuara dan memberitahu pihak polis mengenai apa yang dialaminya. 

Akhirnya Raymod didakwa pada tahun 2002, dan mengaku bersalah menyalahguna Julia secara seksual. Lelaki itu hanya dipenjara selama 2 tahun 3 bulan daripada lima tahun hukuman penjara yang dikenakan terhadapnya dan dibebaskan dengan parol. 

Dia membayar denda dan didaftarkan sebagai pesalah seks dan selepas bebas, Raymond tinggal di Alabama, tidak jauh dari rumah Julia di Cullman. 

Walaupun selepas 13 tahun kejadian itu berlaku, Julia yang kini berusia 24 tahun dan juga ibu kepada tiga orang anak masih mengalami trauma akibat perbuatan lelaki itu. Dia mempunyai PTSD dan menerima rawatan dan masih bergelut dengan emosi yang turut memberi kesan kepada perkahwinannya. 

Sukar melihat penderitaan yang dialami wanita itu, bapanya, Jay sanggup bertindak sendiri untuk membalas dendam ke atas perbuatan yang dilakukan Raymond. 

Jay menaiki motosikal bersama pistol di poketnya memecut ke rumah Raymond yang terletak di Berlin, Alabama. Ketika dalam perjalanan, dia bertemu dengan bekas kekasih anaknya dan bertindak melepaskan tembakan ke arah lelaki itu namun gagal. 

Dia kemudian meneruskan misinya untuk membunuh Raymond dengan melepaskan dua tembakan kepada Raymond yang berada di halaman rumahnya pada ketika itu. 

Raymond meninggal dunia di tempat kejadian manakala Jay ditahan pada hari yang sama dan didakwa atas pembunuhan kelas pertama. Insiden ini turut mengundang perdebatan selepas diketahui umum. 

Walaupun Jay berpeluang untuk dikenakan hukuman yang rendah, namun kerana tidak mahu lagi anaknya itu mengalami tekanan apabila terpaksa menceritakan kembali kejadian yang pernah berlaku kepadanya di mahkamah ketika perbicaraan, Jay sanggup mengaku bersalah terhadap perbuatannya. 

Pada bulan November 2016, di Cullman County Court, Jay dijatuhi hukuman 40 tahun penjara termasuk 20 tahun bagi cubaan membunuh Julia bekas teman lelaki yang dijalankan serentak. "Bapa saya melindungi seperti apa yang sepatutnya dilakukan oleh seorang bapa. 

Dia adalah ayah yang hebat dan terbaik. Saya sayangkannya," katanya dipetik Mirror.uk Petisyen bantahan turut dibuat dengan 2,000 tandatangan berjaya dikumpul. - SinarHarian