Kapal Selam Tempur China Mendarat Di Sabah Timbulkan Kebimbangan India, Amerika.

Ketibaan 2 buah kapal selam tempur milik China di Kota Kinabalu, Sabah baru-baru ini mendapat perhatian, dengan pihak berkuasa India mempersoalkan alasan kapal itu berlabuh bagi “berehat dan mendapat bekalan” selepas memantau aktiviti lanun di perairan Somalia. 


Tentera India dipetik badan penyiaran New Delhi Television (NDTV) sebagai mempertikaikan tujuan kapal selam itu berlabuh. Menurutnya, aset ketenteraan yang canggih seperti kapal selam bukan sesuatu yang sesuai digunakan bagi melawan lanun Somalia yang biasanya hanya melibatkan “pertempuran kecil”. 

Sebaliknya, NDTV melaporkan pihak India bimbang ia merupakan sebahagian usaha perisikan Beijing terhadap kapal selam milik India di Lautan Hindi.


Ia turut dilaporkan akhbar The Wall Street Journal (WSJ) 3 hari lalu yang mengaitkan ketibaan kapal selam itu dengan perubahan kuasa serantau di Asia Tenggara, dipercayai merujuk kebangkitan pengaruh China di sebalik dasar negara seperti Malaysia dan Filipina yang semakin rapat dengan Beijing. 

Walaupun ia bukan kali pertama aset ketenteraan China berlabuh di perairan Malaysia, bagaimanapun ia merupakan pertama kali melibatkan aset canggih seperti kapal selam yang mempunyai kebolehan mengumpul maklumat tanpa dikesan. 

“Ia menunjukkan kepercayaan lebih tinggi di pihak negara tuan rumah, kerana operasi kapal selam adalah sensitif dan boleh digunakan untuk tujuan bertempur atau membuat tinjauan tanpa dikesan,” penganalisis pertahanan, Euan Graham, yang mengetuai Program Keselamatan Antarabangsa di Institut Lowy, Sydney, memberitahu WSJ. 

Graham menganggap lawatan itu petanda kapal selam milik China boleh dibenarkan oleh Malaysia untuk beroperasi di bahagian selatan Laut China Selatan termasuk berhampiran kepulauan Spratly yang dipertikaikan negara serantau. 

WSJ turut menyifatkan ketibaan itu petanda pengaruh Washington yang semakin pudar di rantau itu. Lawatan itu berlaku ketika 2 lagi kapal perang milik Rusia berlabuh di Filipina, di sebalik dasar luar Manila di bawah Presiden Rodrigo Duterte yang mengabaikan hubungan istimewa ketenteraan bersama Amerika Syarikat. 

Kehadiran beberapa kapal perang China di rantau ini tidak disenangi beberapa negara, termasuk Indonesia, yang bimbang China cuba menunjukkan kuasanya ke atas negara lain yang turut menuntut kepulauan Spratly.

Sumber : Free Malaysia Today

Share this :

Previous
Next Post »