Kronologi Skandal Jual Beli Tanah Rizab Melayu Di Pahang.

KENYATAAN MEDIA

Skandal Jual Beli Tanah Hasan Arifin Terlampau Murah Di Bawah Harga Pasaran – 

Tanah Tersebut Disahkan Status Sebagai Rezab Melayu & Dibatalkan Statusnya Sebelum Pindah Milik Kepada Hasan Arifin! 

Kronologi Skandal Jual Beli Tanah Hasan Arifin Terlampau Murah Di Bawah Harga Pasaran: 

17 Febuari 1997 - Syarikat Pasdec Corporation Sdn. Bhd telah membuat permohonan kepada Kerajaan Pahang bagi tanah di Medan Tok Sira bagi Maksud Bangunan sebanyak empat belas (14) permohonan 

2 April 1997 – Majlis Mesyuarat Kerajaan Pahang Ke Lima(5) telah meluluskan permohonan tersebut 

31 Mei 1997 – Pejabat Tanah Kuantan telah memaklumkan syarikat Pasdec Corporation Sdn Bhd melalui surat Bil. (8)dlm.PTK. 3/3/23287 

03 Ogos 2000 – Pembatalan sebahagian Kawasan Simpanan Melayu Tok Sira bagi hakmilik HS(D) 16495, Lot 51703 melalui Warta Kerajaan Pahang No. 558 

24 Januari 2002 – Tanah PT 51703 telah dipindah milik daripada syarikat PASDEC Corporation SDN Bhd kepada Hasan Bin Arifin. Harga jualan kepada Hasan Arifin adalah RM76,499 sedangkan Anggaran Nilai tanah tersebut jika merujuk kepada Notis Taksiran Pejabat Duti Setem adalah RM213,000. Hasan Arifin telah membeli tanah tersebut 61% lebih murah daripada harga pasaran. 

2 Disember 2004 – Hasan Arifin telah menjual tanah tersebut kepada seorang individu bernama Ti Lian Yeah pada harga RM397,683.02. Keuntungan yang diraih melalui urusan jual beli itu adalah sejumlah RM321,184.02! Tanah tersebut telah dijual dengan harga lima (5) kali ganda lebih tinggi daripada harga Hasan Arifin membeli tanah tersebut! 

Saya ingin merujuk kepada skandal jual beli tanah yang melibatkan Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) merangkap Ahli Parlimen Rompin Dato Hasan Arifin yang telah saya dedahkan pada bulan Jun tahun lepas. 

Hasan Arifin telah membeli satu lot tanah daripada PASDEC Corporation Sdn Bhd dengan harga RM76,499 dan telah meraih untung sejumlah RM321 ribu dengan menjual tanah tersebut dua tahun kemudian. 

Saya turut telah mendedahkan bahawa tanah tersebut telah diluluskan oleh Kerajaan Pahang kepada PASDEC pada tahun 1997 ketika Hasan Arifin masih memegang jawatan Timbalan Menteri Besar Pahang dan terdapat konflik kepentingan (conflict of interest) dalam jual beli tanah ini & status “Tanah Rezab Melayu” tanah tersebut telah dibatalkan sebelum dijual kepada Hasan Arifin. 

Hari ini, saya ingin mengemukakan Jawapan Bertulis Sidang Dewan Undangan Negeri Pahang yang membuktikan bahawa status Rezab Melayu telah dibatalkan sebelum dijual kepada Hasan Arifin dan apa yang lebih megejutkan adalah, dalam Pembatalan Status Tanah Rezab Melayu ini, tiada sebarang tanah gantian yang diperuntukkan! 

Kronologi Skandal Jual Beli Tanah Rizab Melayu Di Pahang.
Jawapan bertulis

Kronologi Skandal Jual Beli Tanah Rizab Melayu Di Pahang.

Merujuk kepada Perkara 89 Perlembagaan Malaysia, jika mana-mana tanah terhenti menjadi tanah simpanan Melayu, mana-mana tanah lain yang sama jenisnya dengan tanah itu dan yang luasnya tidak melebihi keluasan tanah itu dan adalah ternyata bahawa dalam isu ini, keputusan Kerajaan Pahang adalah bertentangan dengan peruntukan Perlembagaan tersebut. 

Selain itu, Jawapan Kerajaan Pahang bahawa Pengeluaran tanah dari Kawasan Simpanan Melayu adalah kerana tanah tersebut berpotensi dikomersialkan bagi mendapat nilai pasaran yang tinggi adalah tidak betul kerana Tanah tersebut telah dijualkan kepada Hasan Arifin dengan harga RM76,499 sahaja, dan adalah 81% lebih murah harga Hasan Arifin menjual tanahnya pada tahun 2004 (RM397,683). 

Kerajaan Pahang tidak mendapat keuntungan tetapi Bekas Timbalan Menteri Besar Pahang Hasan Arifin yang telah mengaut keuntungan dalam kes ini. 

Sedia maklum bahawa tanah rizab Melayu disimpan untuk membantu golongan yang terpinggir supaya tidak semua tanah dijual kepada mereka yang kaya dan berkuasa. 

Pada masa yang sama, ramai rakyat serta peneroka yang memerlukan tanah untuk perkebunan, perumahan serta perladangan tidak mendapat tanah yang sewajarnya. Ada di kalangan mereka telah menunggu berpuluh-puluh tahun untuk mendapatkan hak milik tanah. 

Mengapakah Kerajaan UMNO/BN yang sepatutnya menjaga kepentingan pekebun, peneroka dan rakyat tidak memegang kepada amanah diberikan, sebaliknya membatalkan tanah rizab Melayu tanpa gentian, serta menjualkan “tanah emas” ini kepada pihak sendiri? 

Dengan ini, saya mendesak Kerajaan Pahang supaya mendedahkan minit mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Pahang yang dilibatkan penjualan dan pembatalan status rizab Melayu lot tanah ini untuk disemak oleh orang ramai. 

Saya juga menggesa PASDEC selaku anak syarikat Negeri Pahang menjelaskan rasional pembatalan tanah rizab Melayu serta penjualan tanah tersebut kepada Hasan Arifin. 

Sekali lagi saya turut mendesak Hasan Arifin selaku Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang (PAC) supaya tampil menjelaskan isu ini secara terbuka. 

Janganlah hanya tahu menghantar surat guaman kepada anak muda yang mendepankan isu berkepentingan awam sahaja! 

Lee Chean Chung 
Ketua Penerangan Angkatan Muda KEADILAN

Share this :

Previous
Next Post »