Mahu Kerjasama? Boleh, Ikut Cara PAS - Tuan Guru Hadi Awang Kepada Pembangkang.

Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, sekiranya terdapat mana-mana parti pembangkang yang ingin bekerjasama, mereka perlu ikut 'cara' PAS.
Presiden PAS itu berkata, ini kerana parti Islam berkenaan telah lama bertapak di negara ini berbanding parti pembangkang yang lain.
Katanya, PAS sebelum ini telah melalui pelbagai jatuh, bangun dalam arena politik yang tidak pernah dirasai oleh parti lain.
"Kita parti paling lama dalam kalangan parti-parti (pembangkang) itu. (Kita) mengalami peristiwa rebah, bangun.
"Parti lain tak pernah alami pengalaman ini. Kita alami, sebab itu orang lain tak boleh nak ajar kita dalam politik. Kita lebih matang dari orang lain.
"Mereka kena ikut PAS kalau (nak) bekerjasama," katanya pada sidang media selepas merasmikan Himpunan Muslimat Muda di Shah Alam hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas soalan pemberita sama ada PAS dilihat sebagai penentu kemenangan pembangkang di negara ini ekoran terdapat beberapa pihak ingin bekerjasama dengan parti Islam itu.
Malah, anggota parlimen Marang itu turut memberitahu, parti pembangkang lain tidak boleh memandang 'ringan' terhadap PAS dan menjadikan mereka sebagai 'anak tangga' untuk menang pada pilihan raya umum akan datang.
"Kalau mereka tahu kekuatan PAS, mereka tak boleh pandangan ringan pada PAS.
"PAS tak boleh jadi anak tangga untuk naik sahaja. Tak boleh," katanya lagi.
Selain itu, ditanya sama ada kemungkinan akan berlakunya pertandingan tiga penjuru pada pilihan raya umum akan datang, Abdul Hadi berkata:
"Tiga, empat, lima penjuru pun kita pernah bertanding," katanya.
Ditanya lagi tentang kaji selidik daripada Pusat Inisiatif Dasar Invoke (I-CPI) yang mengatakan PAS akan kalah sekiranya bertanding tiga penjuru, Abdul Hadi memberitahu bahawa ia merupakan satu kajian 'atas meja'.
Katanya, PAS turut membuat kajian mereka sendiri secara terperinci memandangkan parti Islam itu mempunyai kira-kira 7,000 cawangan di seluruh negara.
"Kita ada kajian kita sendiri lebih terperinci. Jentera kita lebih banyak, kita ada cawangan seluruh negara. Mereka (parti pembangkang lain) tak ada. Saya tak tahu kajian itu diambil dari mana sumbernya.
"Sumber kita dari cawangan seluruh negara. Sekarang ada 7,000 cawangan. Mereka mana ada banyak cawangan. Mereka kajian atas meja sahaja kita kajian ke bawah.
"Mereka buat kemungkinan (andaian) mereka, kita ada kemungkinan kita sendiri," ujarnya.
Sementara itu, ditanya bilakah kerjasama antara Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) akan dimuktamadkan, Abdul Hadi berkata PAS perlu membuat perhitungan terlebih dahulu sejauhmana ia mendatangkan keuntungan.
Ini kerana, menurutnya, tiada sesuatu yang muktamad di dalam politik memandangkan pelbagai kemungkinan boleh berlaku.
"Tak timbul masalah tak ada kerjasama sebab ia ada. Cuma PAS kena buat perhitungan sejauh mana untung, rugi kerjasama itu. PAS ada perhitungannya sendiri.
"Dalam politik tak ada sesuatu yang muktamad. Kawan boleh jadi musuh, musuh boleh jadi kawan," katanya lagi. - Malaysiakini

Share this :

Previous
Next Post »