Nak Bekerjasama? Boleh, Tetapi Beradablah - PAS Kepada Mahathir.

PAS hari ini meneruskan serangannya terhadap Tun Dr Mahathir Mohamad, menyifatkan pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu berniat jahat kerana menuduh ada pimpinan PAS mahu sabotaj kerjasama antara 2 parti itu. 


Sedangkan beliau sebut nak kerjasama, tetapi adab, orang kerjasama bukan menyerang, bukan menekan dan bukan mengecam,” kata Ketua Penerangan Dewan Ulama PAS, Datuk Khairuddin Aman Razali. 

“Itu bukan adab orang yang nak berbincang.” Ahli Parlimen dari Terengganu itu turut mempertahankan kritikan pimpinan PAS terhadap Dr Mahathir. 

“Jadi kalau ada dalam kalangan pimpinan PAS yang menyerang atau mengecam Dr Mahathir, itu tindak balas yang wajar bagi tindakan Dr Mahathir,” katanya. 

Dr Mahathir dilihat antara pemimpin PPBM paling lantang mengkritik PAS. Bekas perdana menteri itu baru-baru ini berkata masa untuk PAS membuat keputusan sama ada mahu menyertai pembangkang lain menghadapi pilihan raya umum bagi memastikan pertandingan satu-lawan-satu dengan Barisan Nasional (BN), sudah tamat. 

Khairuddin berkata, PAS sentiasa terbuka untuk berbincang dengan mana-mana pihak dalam menjalinkan kerjasama dengan parti lain. Bagaimanapun, kerjasama dengan PAS mesti mengikut syarat yang ditetapkan. 

“Kita kenakan syarat dan sesiapa yang nak kerjasama kena ikut dengan kita. Kita tidak paksa, tetapi syarat itu sebagai pilihan. 

Terpulang kepada kamu, hak kamu dan pilihan kamu,” katanya. Khairuddin berkata PAS akan hanya membuat pendirian jelas berhubung kerjasama dengan PPBM berdasarkan keputusan Majlis Syura parti itu. 

Ini kerana apa-apa bentuk antara PAS dengan parti lain memerlukan kelulusan daripada majlis itu, badan tertinggi parti yang didominasi ahli Dewan Ulama. 

“Jadi, bagi PAS tiada pengakhiran lagi. Mungkin ada perbincangan dengan beberapa pemimpin yang diamanahkan, tetapi itu bukan perbincangan akhir dalam membuat keputusan. 

“Keputusan sebarang kerjasama politik dengan parti lain di bawah bidang kuasa Majlis Syura Ulama,” katanya.

Sumber : Free Malaysia Today

Share this :

Previous
Next Post »