t>

Breaking News

Selepas Skandal 129j, MARA Jual Hartanah Luar Negara Untuk Kurangkan Hutang.

Majlis Amanah Rakyat (Mara) bertindak menjual satu daripada hartanahnya di Australia bagi menampung hutang kewangan agensi kerajaan itu, kata Tan Sri Annuar Musa.

Pengerusi Mara berkata, penjualan hartanah melalui tender terbuka itu membolehkan Mara menguruskan hutang sedia ada dengan lebih mudah.
“Saya berbangga maklumkan kami memutuskan menjual satu daripada hartanah yang ada kerana mahu bebas hutang.
“Saya tidak mahu mereka (Mara) terus melakukan penyelarasan, jadi kami memutuskan mencairkan aset dengan menjual 1 daripada 4 hartanah yang kami ada,” katanya pada sidang media di Preimera Hotel, hari ini.
Pada 2015, anak syarikat Mara iaitu Mara Incorporated Sdn Bhd (Mara Inc) terkait dengan kontroversi berikutan pendedahan akhbar Australia, The Age, yang mendakwa ia membelanjakan jutaan ringgit membeli sebuah blok pangsapuri 5tingkat, Dudley International House, di Melbourne dengan harga lebih tinggi daripada harga pasaran.
Akhbar itu mendakwa “sekumpulan pegawai Malaysia yang amat kaya” terlebih bayar sebanyak A$4.75 juta (RM13.8 juta) bagi blok pangsapuri di bandar raya itu pada 2013, daripada A$17.8 juta kepada A$22.5 juta (RM65.3 juta), dengan wang perbezaan itu dijadikan sebagai rasuah di tanah air.
Bagaimanapun, Ahli Parlimen Pandan Rafizi Ramli pula mendakwa Mara terlebih bayar RM129 juta bagi pembelian 4 aset di Melbourne yang semuanya didakwa dibayar lebih tinggi berbanding harga sepatutnya mengikut pasaran semasa.
Dudley International House merupakan asrama pelajar yang dibeli Mara, iaitu agensi yang menyediakan biasiswa bagi pelajar Malaysia melanjutkan pelajaran di luar negara.
Setakat ini, 4 hartanah milik Mara yang dibeli di Australia adalah The Dudley House, 333 Exhibition Street, 51 Queen Street dan 746 Swanston Street.
Tambah Annuar, penjualan hartanah itu membolehkan Mara membayar pinjaman yang dibuat di bank Australia.
“Kami gunakan segala pendapatan membayar semula pinjaman dengan 2 bank di Australia. Walaupun masih ada hutang, tapi hutang itu lebih mudah untuk diuruskan,” katanya.
Bagaimanapun, Annuar tidak menjelaskan secara terperinci maklumat dan harga penjualan hartanah tersebut, sebaliknya sewaktu dihubungi, menyatakan akan menjelaskan perkara itu esok pagi.
Sementara itu, Annuar turut menasihatkan kakitangan Mara agar tidak terlibat dalam jenayah salah guna kuasa dan rasuah.
“Saya sentiasa beritahu sewaktu mesyuarat, tidak berbaloi buat kerja menyalahi undang-undang. Kita rasa boleh lepas, tapi orang kata tidak mungkin kita boleh lepas sepanjang masa.
“Jadi, secara ringkasnya tidak berbaloi buat benda bersalahan dengan undang-undang. Tidak berbaloi amalkan rasuah, tidak berbaloi abaikan amanah,” katanya.
Beliau turut mengakui tidak pernah terlibat dengan pemberian tender sejak menerajui Mara bagi mengelak terpalit dengan rasuah.
“3 hingga 4 tahun duduk dalam Mara, saya tidak pernah campur satu tender pun. Saya tidak pernah tahu bilakah jawatankuasa tender bermesyuarat,” katanya.
Pada Mac tahun lalu, 2 pegawai kanan Mara Incorporated Sdn Bhd (Mara Inc) bergelar “Datuk” dan seorang pengarah syarikat direman 7 hari sehingga 30 Mac bagi membantu siasatan berhubung pembelian hartanah di Melbourne, Australia. - Free Malaysia Today