t>

Breaking News

Setuju Dua Penjuru Atau Kita 'Perang' - PAS Kepada Pakatan Harapan.

PAS hari ini memberi amaran kepada parti-parti pembangkang lain untuk sama-sama berbincang mengenai kerusi dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
Ketua Pesuruhjaya PAS Datuk Iskandar Abdul Samad berkata, sekiranya parti-parti lain boleh bersetuju dua penjuru, PAS sedia untuk menghormatinya.
Namun, sekiranya ia tidak berlaku, PAS seakan memberi amaran bahawa 'sama-sama kita menanggung akibatnya'.
“Jika ada persetujuan untuk dua penjuru, PAS boleh menghormatinya.
“Jika tidak ada persetujuan dan akan berlaku "free for all", PAS bersedia untuk menerokai kawasan-kawasan baru.
“Jentera PAS berupaya dikerah menghadapi kemungkinan tersebut. Sama-sama kita menanggung akibatnya,” kata Iskandar dalam kenyataannya hari ini.
PAS sedia hadapi PRU14
Beliau turut berkata bahawa PAS dan seluruh tenteranya sudah bersedia menghadapi PRU14.
Ia termasuk segala kemungkinan termasuk jika perlu bertanding dua atau tiga penjuru pada PRU akan datang.
“PAS bersedia menghadapi apa sahaja "landskap politik baru".
“Sama ada dua penjuru atau tiga penjuru, jentera pilihan raya PAS telah bersedia untuk menghadapi apa sahaja kemungkinan,” katanya.
Dalam pada itu, Iskandar berkata bahawa PAS tidak mempunyai sebarang masalah sekiranya Parti Amanah Negara (AMANAH) mahu bertanding di kerusi yang dimenangi oleh parti Islam itu sebelum ini.
Ia kerana, katanya, itu adalah hak AMANAH dalam sebuah negara yang demokrasi.
“Kami tidak ada masalah jika AMANAH hendak bertanding di kerusi-kerusi yang dimenangi oleh PAS atau pernah ditandingi oleh PAS. Ianya adalah hak mereka di dalam sebuah negara demokrasi,” katanya.
Rabu lalu, AMANAH menegaskan serpihan PAS itu tidak akan bertanding di mana-mana kerusi sekutu politiknya pada PRU akan datang.
Timbalan Presiden Salahuddin Ayub berkata perkara itu telah diputuskan AMANAH secara prinsip, namun ia tertakluk kepada perbincangan bersama parti pembangkang lain pada masa depan.
Bagaimanapun kenyataan Salahudin itu berbeza sama sekali dengan Ketua Penerangan AMANAH Khalid Samad semalam bahawa mereka mahu bertanding di kira-kira 40 kerusi parlimen, termasuk yang dimiliki PKR dan PAS.
Mengulas lanjut, Iskandar mengingatkan AMANAH sekiranya berniat mahu menggantikan PAS, parti serpihan itu sendiri perlu berhadapan dengan mereka.
“Tetapi kalau betul hendak menggantikan PAS maka silakan bertanding melawan PAS.
“Jangan pula menyuruh parti lain berlawan dengan PAS kerana tidak berani berhadapan dengan PAS. Kami tunggu,” katanya.
Sumber : Malaysiakini