t>

Breaking News

Menteri Arah KPDNKK Hentikan Semua Serbuan Ke Kedai Yang Menjual Berus Bulu Babi.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Hamzah Zainuddin hari ini mengesahkan beliau telah mengarahkan bahagian penguatkuasa kementerian itu menghentikan serbuan ke atas kedai-kedai yang menjual berus yang diperbuat daripada bulu babi.
Hamzah berkata beliau telah memaklumkan Pengarah Bahagian Penguatkuasa Kementerian itu, Roslan Mahayudin mengenai keputusan tersebut.
Ditanya mengenai sebab-sebab mengapa serbuan itu dihentikan, Hamzah berkata ia mempunyai kaitan dengan keharmonian kaum dan agama di Malaysia.
"Kita semua mesti berusaha ke arah hidup dalam masyarakat yang harmoni. Kita jangan bermain dengan api," katanya pada sidang akhbar di Kuala Lumpur hari ini.
Beliau berkata isu itu telah diperbesar-besarkan oleh media dan di internet.
Walaupun bersetuju bahawa peniaga mempunyai tanggungjawab untuk memaklumkan kepada pengguna tentang produk tertentu, Hamzah menegaskan bahawa pengguna juga perlu bertanya jika mereka tidak pasti tentang sesuatu produk.
"Jangan jadikan isu yang boleh pecah belahkan kita," katanya.
Sumber : Malaysiakini