t>

Breaking News

Mufti Syria Keluar Fatwa Harus Makan Kucing.

Berikutan konflik tidak berkesudahan, bekalan makanan di sesetengah kawasan di Syria terputus menyebabkan muftinya terpaksa mengeluarkan fatwa dibolehkan memakan kucing


Di sesetengah wilayah Syria seperti Allepo, Dar'a, Homs, Idlib dan pinggir Damsyik masih teruk kerana terus menjadi sasaran bom tong dram serta bom kimia tentera rejim Presiden Bashar al-Assad. 

Pengarah Yayasan Bantuan Kemanusiaan Turki (IHH) untuk isu Syria di sini, Mus'ab berkata, ulama Syria mengeluarkan fatwa mengharuskan memakan haiwan terbabit kerana tiada apa yang tinggal termasuk rumput untuk dimakan di sesetengah kawasan. 

“Keadaan paling susah adalah musim sejuk sebab khemah macam peti sejuk namun musim panas juga hebat cabarannya sebab khemah menjadi seperti ketuhar,” katanya. 

Beliau berkata demikian dalam taklimat di pejabat IHH iaitu antara NGO yang terbesar dunia berpusat di Turki. 

Taklimat itu antara jadual misi bantuan musim sejuk kepada pelarian Syria anjuran Muslim Care Malaysia Society (Muslim Care) di wilayah ini yang terletak di sempadan Turki-Syria. 

Mus'ab turut menyatakan penghargaan atas usaha rakyat Malaysia khususnya Muslim Care yang membantu menyediakan sekolah untuk pendidikan anak pelarian Syria. 

Bantuan anjuran Muslim Care adalah berterusan dan orang ramai masih boleh menyalurkan sumbangan wang tunai ke akaun Maybank (5644-9041-3882) atau Bank Islam (140-140101-4740) atau ke akaun Bank Muamalat (14-0100-0765-4717). 

Maklumkan sumbangan menerusi mesej pesanan ringkas atau WhatsApp kepada Johari Ismail di talian +6016 9978323 atau Zakaria Abd Latiff (+6012 6935938). 

Dalam perkembangan berkaitan, Mus'ab berkata, konflik di Syria sudah memasuki tahun keenam dan ramai sudah keciciran pelajaran. “Di tanah Syria seberang sempadan Reyhanli terdapat lebih 500,000 pelarian tinggal di kem. 

“Sudah enam tahun mereka dalam keadaan sedemikian rupa. “Jika konflik berlanjutan hingga lebih 10 tahun lagi, Syria akan kehilangan pelapis profesional termasuk doktor, guru, arkitek, jurutera malah mungkin tukang gunting rambut pun tak ada. Ini disebabkan kanak-kanak tercicir pendidikan,” katanya. 

Menurutnya, di wilayah ini sahaja terdapat seramai 120,000 pelarian Syria berbanding 60,000 rakyat tempatan Turki. Secara berseloroh dia mengumpamakan pendatang itu jika boleh mengundi, tentunya akan menguasai wilayah Reyhanli. 

“Namun kami di Turki sedaya-upaya untuk memastikan anak pelarian Syria tidak tercicir dalam pelajaran. 

“Bangunlah dunia, Syria kini umpama anak yatim piatu yang memerlukan ibu bapa angkat untuk keselamatan dan masa depan mereka," katanya.