t>

Breaking News

Susulan Kes 40 Sekeluarga Dijangkiti Virus 'Misteri' : Ikuti 5 Panduan Kesihatan Ini Untuk Kawal Jangkitan.

Oleh : Mohd Fadhli Mohd Fauzi

DISERANG 'VIRUS' MISTERI? 



Kecoh di media dengan isu ini dan dua lokasi dikaitkan dengan kes ini iaitu Kajang dan Kelantan. Namun, menurut laporan media hari ini, Pengarah Kesihatan Negeri Kelantan berkata siasatan awal mendapati dua mangsa berkenaan (1 mati, 1 kritikal) dipercayai diserang virus Klebsiella Pneumonia. 

[UPDATE 10.02.2017 : Hari ini ujian terhadap 3 pesakit disahkan positif leptospirosis] 

Pneumonia ialah jangkitan kuman pada paru-paru yang menyebabkan keradangan. Kuman tersebut kebiasaannya terdiri daripada bakteria (bacterial pneumonia) atau virus (viral pneumonia). Klebsiella Pneumoniae adalah sejenis bakteria dalam kumpulan gram negatif. 

Ia bukan sahaja boleh menyebabkan pneumonia, tetapi juga jangkitan saluran kencing dan kuman dalam darah. Pesakit pneumonia yang berpunca daripada bakteria Klebsiella pneumoniae ini majoritinya pada masa yang sama dijangkiti juga oleh bakteria tambahan contohnya Methicillin-Resistant Staphylococcus Aureus (MRSA) atau Pseudomonas Aeruginosa (PA). 

Terdapat strain bakteria-bakteria ini yang rintang terhadap antibiotik tertentu, menyebabkan kesukaran untuk rawatan dan pemilihan antibiotik. Pesakit pneumonia ini biasanya akan mempunyai gejala batuk dan demam (hampir 100%), diikuti dengan berkahak, sukar bernafas dan sakit dada. Kebanyakannya akan menjadi teruk dalam masa yang singkat. 

Pesakit juga boleh mengalami gejala yang tidak tipikal. Jadi, adalah penting untuk masyarakat mendapatkan pemeriksaan dan rawatan segera di fasiliti kesihatan untuk penilaian oleh doktor bertauliah. 

Penyakit ini berjangkit melalui udara. Jadi adalah penting untuk masyarakat mengamalkan etika batuk yang betul termasuklah menutup hidung dan mulut ketika batuk dan mencuci tangan selepas batuk bagi mengelakkan transmisi bakteria. 

Golongan berisiko untuk dijangkiti bakteria ini termasuklah pesakit kencing manis, peminum alkohol kronik, pesakit dengan penyakit paru-paru kronik, perokok tegar, pesakit jantung dan pesakit kanser. 

Komplikasi penyakit ini termasuklah paru-paru bernanah (abscess), tisu mati (gangrene / necrosis), paru-paru berair (pleural effusion), dan pneumonia kronik. 

Kadar kematian juga adalah tinggi iaitu mencecah 50%. Maka penilaian dan rawatan segera adalah diperlukan. Apa patut anda lakukan? 

1. Jika anda batuk, selesema dan bersin, jauhkan diri daripada orang lain dan amalkan etika batuk yang betul dan pakai penutup hidung. Dapatkan pemeriksaan dan rawatan segera. 

2. Jika anda mempunyai kencing manis, jaga paras gula dalam darah anda dengan mengamalkan diet yang betul dan ikut nasihat perawatan doktor bertauliah. Elakkan terdedah kepada individu yang batuk, selesa atau bersin. 

3. Jika anda merokok, berhenti merokok segera. Jika anda peminum alkohol kronik, berhenti juga. 

4. Bagi golongan berisiko yang lain, elakkan terdedah kepada individu yang batuk, selesema atau bersin. Ikut nasihat perawatan doktor. 

5. Jika ahli keluarga anda mempunyai simptom ini dan dalam keadaan lemah namun enggan ke hospital, sila nasihatkan sebaik mungkin dan jika perlu, 'paksa' mereka demi nyawa.