t>

Breaking News

Walaupun Harga Minyak Dunia Stabil, Kerajaan Tetap Naikkan Harga Bahan Api - Kenapa Agaknya?

Oleh : Tuan Ibrahim Tuan Man


Nilai ringgit berbanding dolar AS naik sedikit pada Januari 2017. Harga minyak sedunia pula kelihatan stabil sekitar AS$55 bagi satu tong. Mengapa harga minyak negara naik sebanyak 20 sen pada Februari?

Sebagai kerajaan, mereka perlu memahami bahawa setiap keputusan yang dilakukan akan membawa impak. Nilai ringgit yang lemah menyebabkan kos harga barangan naik mendadak. Semua yang bekerja mengharapkan kenaikan gaji dan bonus untuk menampung kos tambahan ini. 

Para peniaga kecil-kecilan, sederhana mahupun pengusaha sendiri juga mengharapkan penambahan pendapatan untuk menampung kos yang meningkat. 

Kini, kos yang meningkat itu bukan sahaja disebabkan nilai ringgit yang rendah, malah disebabkan harga petrol domestik yang tinggi dan bakal meningkatkan kos pengangkutan. Tidak hairan kalau kumpulan peniaga ini terpaksa mengambil keputusan untuk menaikkan harga jualan mereka. 

Tapi jika semua pihak inginkan penambahan pendapatan (ini bermakna kos perniagaan pada puratanya akan meningkat), siapa pula yang sanggup menurunkan harga hanya kerana harga minyak turun? Ramai yang berkata, harga barangan perlu menurun sejajar dengan trend kejatuhan harga minyak. Tapi realitinya, ini tidak akan berlaku. 

Siapa yang sudi pendapatannya dipotong? Lihatlah pada tambang bas, bas sekolah, pengusaha pengangkutan swasta mahupun pengangkutan awam, penjual makanan dan barangan – ada siapa yang keluar untuk menyatakan mereka akan menurunkan harga perkhidmatan dan produk mereka sejajar dengan penurunan harga minyak? 

Impak daripada keputusan kerajaan menaikkan harga minyak sebanyak 20 sen hari ini tidak dapat dikurangkan dengan penurunan harga minyak di bulan-bulan akan datang. 

Apabila harga barangan dan perkhidmatan naik, agak mustahil untuk diturunkan semula walau apa pun sebabnya kerana ia berkait rapat dengan gaji dan pendapatan orang tertentu. 

Oleh itu, sejak awal-awal lagi, ramai yang menyuruh kerajaan tidak menaikkan harga minyak sewenang-wenangnya kerana ia membuka peluang kepada kenaikan harga barangan dan perkhidmatan secara keseluruhan yang tidak dapat dinyahkan apabila harga minyak kembali turun. 

Tahun 2017 yang mencabar, kini menjadi lebih mencabar bagi rakyat kerana kerajaan yang tidak prihatin kepada kesusahan rakyat hari ini.