t>

Breaking News

90% Pembeli Hartanah Di Forest City Adalah Dari China.

Bekas ejen jualan syarikat Country Garden di Malaysia mendedahkan kira-kira 90 peratus pembeli hartanah Forest City di Johor adalah dari China, demikian lapor South China Morning Post.
Forest City
Projek Forest City meliputi 1,386.05 hektar, dibina atas empat pulau buatan manusia di Iskandar Malaysia adalah antara hartanah luar negara yang paling terkenal dalam kalangan penduduk China ekoran promosi meluas Country Garden, termasuk pengiklanan di stesen televisyen negara itu.
Country Garden yang berpangkalan di Guangdong adalah pemaju kedua terbesar di China yang mempunyai empat projek perumahan di Malaysia.
Pembangunan tersebut berjaya menarik pembeli China dengan menawarkan harga yang berpatutan dan akses kepada program visa Malaysia untuk jangka panjang.
Jurucakap Country Garden mengesahkan bahawa ia telah menutup semua pusat jualan di tanah besar untuk pengubahsuaian, namun menafikan langkah itu mempunyai kaitan dengan kawalan modal China.
Jurucakap berkenaan menganggarkan terdapat puluhan pusat jualan Country Garden, tanpa memberi jumlah sebenar perkara itu.
Bagi membendung aliran keluar modal, kerajaan China pada Januari lalu mengharamkan rakyatnya daripada menukar Yuan kepada matawang lain bagi pembelian hartanah di luar negara.
Pada bulan sama, pengurus kewangan Country Garden, Wu Bijun memberitahu bahawa beberapa projek di Malaysia terjejas ekoran tindakan tegas kerajaan terhadap aliran keluar modal.
Bermula pada 2013, projek Forest City berdepan pelbagai cabaran. Penambakan besar-besaran yang dicadangkan di antara Singapura dan Malaysia menimbulkan kebimbangan kepada kedua-dua pihak mengenai kesan alam sekitar – kerja-kerja itu digantung pada 2014.
Bagaimanapun, pembinaan itu bermula pada 2015 dengan pelaburan dijangka AS$36.2 bilion dalam tempoh 20 tahun dan pra-jualan dilancarkan pada 2016.

Sumber : Ismaweb