t>

Breaking News

Adakah Guru Yang Kritik Selangor, Kelantan Dan Penang Perlu Berhenti Kerja Juga Wahai Menteri?

"Takkan nak biar guru-guru ini pendam perasaan? Kemudiannya menjadi satu tekanan perasaan dalam kehidupan mereka. "Dasar yang dibuat kerajaan mereka tak boleh nak kritik dan luah di mana-mana, apa masalah? 

Jika begitu, adakah kerajaan boleh suruh guru yang kritik kerajaan negeri Selangor, Pulau Pinang dan Kelantan untuk berhenti kerja?," kata Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar ketika membahaskan Rang Undang-undang Perbekalan Tambahan pada semalam di Parlimen. 

Gambar Oleh Berita Semasa
Kenyataan itu adalah respon segera terhadap amaran yang dikeluarkan oleh Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid yang mengeluarkan amaran melarang guru-guru dari mengkritik kerajaan atau berada di pentas pembangkang. Datuk Seri Mahdzir Khalid juga mengesahkan setakat ini kementeriannya telah mengeluarkan 5 surat tunjuk sebab kepada guru-guru yang dikesan berkecenderungan mengkritik kerajaan di atas pentas pembangkang.

Mengulas lanjut, Mahfuz berkata, golongan guru juga mempunyai hak untuk menyokong kerajaan atau tidak. "Sepatutnya kerajaan harus tangani dengan beri penjelasan kepada penjawat awam, bukan lawan mereka dan cabar mereka letak jawatan. Saya nak minta kerajaan jangan sakiti hati guru-guru.

"Walaupun kritik kerajaan mereka masih menjalankan tugas sebagai seorang pendidik. Jadi kerajaan harus lebih cermat dalam hal ini," katanya lagi, memetik laporan Sinar Harian.

Sementara itu, Ahli Parlimen Sepang, Hanipa Maidin berkata, kerajaan tidak sepatutnya marah kepada golongan guru sebaliknya perlu mendengar kritikan mereka.

"Sudah sampai masanya kita bersikap toleransi dengan pegawai kerajaan. Kalau ada yang mereka tak puas hati, kerajaan kena 'engage' dengan mereka. Walaupun mereka kritik kerajaan, tidak semestinya mereka sokong pembangkang," katanya.

Dalam pada itu, reaksi yang dinyatakan oleh Ahli Parlimen Sekijang, Anuar Abd Manap agak berbeza.

Menurut Ahli Parlimen itu, golongan guru seharusnya tidak menggunakan media sosial untuk mengutuk kerajaan. "Jika guru-guru ini menggunakan saluran yang betul untuk menyuarakan masalah atau rasa tidak puas hati, saya yakin kementerian boleh terima," katanya.