Kenali Ahmad Dawjee Dadabhoy, Jutawan India Muslim Malaysia Yang Mewakafkan Tanah Dan Saham Bernilai Juta Ringgit Ke Jalan Islam.

Oleh : Imam Muda Hassan

Kisah Jutawan India Muslim Malaysia Yang Mewakafkan Tanah Dan Saham Bernilai Juta Ringgit 

Pernahkah kita dengar cerita tentang Ahmad Dawjee Dadabhoy? 

Ahmad Dawjee Dadabhoy
Ahmad Dawjee Dadabhoy
Beliau merupakan seorang jutawan Malaysia berketurunan India Muslim. Di akhir hayatnya beliau mewakafkan hampir keseluruhan hartanya berupa sebidang tanah yang luas sekitar 1.2 ekar di Jalan Perak dan juga lot lot saham bernilai jutaan dolar di Bursa Saham London dan beberapa bursa saham lain. 

Tanah beliau di Jalan Perak, Kuala Lumpur dibangunkan sebuah menara wakaf 34 tingkat yang hari ini dikenali sebagai Menara Wakaf Bank Islam. 

Bangunan yang dibina dengan modal dikeluarkan Tabung Haji itu pada tahun 2007 dengan kos RM151 juta. Hari ini disewakan sebagai pejabat Kelas A di kawasan segitiga emas yang kedudukannya tidak jauh dari KLCC. 

Diberitakan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) sebagai pemegang amanah harta wakaf Ahmad Dawjee Dadabhoy ini akan menerima RM56.6 juta hasil sewaan bangunan ini selama 25 tahun. 

Di hari kematian beliau pada 24 Januari 1987, beliau meninggal di sebuah rumah flat kecil di Jalan Masjid India di kelilingi oleh buku-buku bacaan beliau. Tidak ada harta lain lagi bersama beliau melainkan sedikit itulah. Selebihnya sudah diwakafkan keseluruhannya untuk ummah. Pernah keluarganya datang dari Afrika Selatan ke Malaysia. 

Apabila dibawa melawat tanah tanah wakaf beliau di kawasan segitiga emas Kuala Lumpur, mereka menitiskan air mata melihat bertapa tingginya nilai hartanah tersebut dan tingginya ketaqwaan saudara mereka Ahmad Dawjee yang mewakafkan hartanya itu kepada ummah. 

Inilah tauladan kepada kita di zaman ini sebagaimana yang kerap kita dengar kisah sahabat sahabat Nabi SAW yang meninggal dunia tanpa harta kerana mewakafkan harta mereka sebelum meninggal dunia walaupun ketika hidupnya kaya raya. 

Ia juga petunjuk kepada kita bahawa agama menggalakkan kita mencari harta dan mengembangkan harta. Tetapi perlu diingat harta kekayaan itu bukanlah milik mutlak kita. 

Perlu dikongsikan dengan ummah berupa zakat, sedekah dan wakaf. Di hari kematian kita, tinggal di alam barzakh, pahala sedekah itu akan terus menerus berjalan. 

Kemudian dibangkitkan di akhirat kelak menjadi lebih kaya untuk tempoh yang tiada penghujungnya disebabkan ketinggian taqwa kita kepada Allah atas harta yang kita infakkan. 

* Kisah Ahmad Dawjee Dadabhoy ini diceritakan oleh Ustaz Mohd Ramadhan Fitri Elias (Senior Vice President Maybank Islamic/ Ketua Jabatan Pengurusan Syariah Maybank Islamic Malaysia) dalam pembentangannya di Konvensyen Pejuang Hartanah di Cyberjaya baru-baru ini. Wallahu a'lam 

P/S: cemburunya saya pada kebaikan al-Marhum.

Share this :

Previous
Next Post »