t>

Breaking News

Skandal PKFZ - 3 Lagi Dibebaskan Mahkamah Atas Tuduhan Menipu.

Mahkamah Sesyen di sini hari ini melepas dan membebaskan 3 individu yang dituduh menipu dalam projek Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ), tanpa dipanggil membela diri.
Gambar Oleh FMT
Mereka ialah bekas pengurus projek Kuala Dimensi Sdn Bhd, Law Jenn Dong, 59; arkitek BTA Architect, Bernard Tan Seng Swee, 56, dan ketua pegawai operasi Kuala Dimensi, Stephen Abok, 59.
Hakim Asmadi Hussin membuat keputusan itu selepas berpuas hati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap semua pertuduhan.
Seramai 31 saksi pendakwaan memberi keterangan sepanjang perbicaraan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Awang Armadajaya Awang Mahmud, Muhammad Anas Mahadzir dan Noor Zalizan Lazarous.
Law diwakili peguam Datuk Tan Hock Chuan, Stephen oleh peguam Hisham Teh Poh Teik, manakala Bernard Tan diwakili peguam Datuk V. Sithambaram.
Law, Stephen dan Bernard Tan mengaku tidak bersalah pada 8 November 2010 atas 24 pertuduhan pilihan menipu OSK Trustees Bhd untuk membuat pembayaran berjumlah RM116.85 juta kepada Kuala Dimensi untuk 2 projek di PKFZ di OSK Trustees Bhd, Plaza OSK Ampang antara 30 Jun 2006 sehingga 20 Jun 2008.
Stephen dan Bernard Tan juga mengaku tidak bersalah terhadap 2 lagi pertuduhan pilihan menipu OSK Trustees di antara 31 Julai 2007 dan 8 Oktober 2008 dengan memperdaya syarikat pemegang amanah itu untuk membayar RM5.42 juta kepada Kuala Dimensi untuk projek sistem bekalan elektrik ke PKFZ yang tidak dilaksanakan.
Bagi setiap pertuduhan mereka didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebatan serta denda jika disabitkan kesalahan.
Sebelum ini, Stephen dan Bernard Tan mengaku tidak bersalah terhadap 2 pertuduhan asal menipu Lembaga Pelabuhan Klang (LPK) membabitkan tuntutan RM5.42 juta pada 31 Julai dan 21 September 2007.
Bernard Tan dan Law pula menghadapi 24 pertuduhan asal menipu LPK bagi mendapatkan pengesahan pembayaran sebanyak RM116.85 juta kepada Kuala Dimensi melibatkan 2 projek yang sama antara 30 Jun 2006 dan 30 Mei 2008.