22 Geng Basikal Ditahan Polis Berkumpul Di Kawasan Kemalangan Ragut 8 Nyawa.

Dua remaja perempuan berusia 14 dan 16 tahun antara 22 yang ditahan polis kerana dipercayai berkumpul dan terbabit aktiviti menunggang basikal secara berbahaya di Jalan Lingkaran Dalam di sini, awal pagi, semalam.


Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan (JBS), Asisten Komisioner Sulaiman Salleh berkata semua remaja berusia 14 hingga 17 tahun termasuk tujuh yang masih bersekolah, ditahan dalam Ops Gempur pada jam 3 pagi.
Katanya, tindakan menahan remaja berkenaan hasil rondaan berdasarkan maklumat mengenai kegiatan kumpulan kumpulan remaja berbasikal di lokasi kemalangan maut yang membabitkan lapan remaja pada 18 Februari lalu.
"Dipercayai antara 30 hingga 40 remaja berkumpul di jalan berkenaan sebelum polis menahan 22 daripadanya, termasuk lapan penonton dan 14 penunggang basikal.
"Siasatan mendapati kebanyakan mereka datang daripada pelbagai tempat di daerah ini, termasuk Desa Cemerlang, Kangkar Pulai, Iskandar Puteri dan Taman Daya," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Trafik Johor Bahru Selatan (JBS) di sini, hari ini.
Beliau berkata, antara remaja ditahan itu pernah menjadi penonton kejadian kemalangan meragut lapan remaja di kawasan itu.
"Tindakan seterusnya, kami memanggil penjaga remaja berkenaan serta memberi kaunseling dengan prosesnya bermula jam 3 pagi hingga 6 petang semalam.
“Kami meminta ibu bapa mengawal anak masing-masing, terutama pada hujung minggu bagi mengelak kejadian tidak diingini," katanya.
Katanya, semua basikal itu dirampas dan akan dilupuskan selain saman dikeluarkan mengikut Peraturan 42(1)(a) LN 166/59 Kaedah-Kaedah Lalulintas 1959.
"Jika sabit kesalahan mengubahsuai basikal, hukuman denda tidak lebih RM2,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan.
"Tangkapan dan sitaan basikal dibuat mengikut Seksyen 112(3) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut di bawah Peraturan 42(1)(a) LN 166/59 Kaedah-Kaedah Lalulintas 1959," katanya.

Sumber : Harian Metro

Share this :

Previous
Next Post »