Hormatilah Perbezaan Bangsa Dan Agama, Berhentilah Bertelagah Wahai Bangsa Malaysia.

Oleh : Rafnah Ismail 
Isu Perkauman
Sumber - IIUM
Pada abad ke-19 kaum Cina dan India masuk ke Tanah Melayu oleh Kerajaan British sebagai buruh.
Jika diteliti kenapa orang Cina berhijrah ke Tanah Melayu disebabkan faktor ekonomi, pertumbuhan penduduk yang terlampau ramai dan pergeseran yang yang berlaku ketika Dinasti Manchu yang sering menindas kaum Cina tempatan.
Kaum India pula berhijrah ke Tanah Melayu atas faktor yang lebih kurang sama. Faktor cuaca dan penindasan.
Maka sedari abad ke-19 hinggalah tahun 1963 kaum Melayu menerima dasar keterbukaan kepelbagaian kaum meskipun kaum Melayulah merupakan kaum pertama yang membuka Tanah Melayu ketika zaman Kesultanan Melaka hinggalah dijajah pada tahun 1511 oleh penjajah pertama iaitu Portugis. Malah sebenarnya mungkin tamadun Melayu mempunyai sejarah yang lebih lama dengan penemuan pusat arkeologi Sungai Batu yang terletak di Kedah.
Sudah beratus tahun Tanah Melayu didiami oleh tiga kaum utama di semanjung iaitu kaum Cina, India dan Melayu.
Tiga kaum ini bersatu padu menentang penjajah, bermain bola sepak hingga layak ke Olimpik, malah siapa akan lupa sejarah yang mencatat bahawa tiga anak Malaysia yang pergi ke London untuk berunding akan kemerdekaan Malaysia.
Tidak dinafikan sehingga tahun 2017, Cina dan India meskipun dikenali sebagai kaum minoriti yang kadang kala dipandang sinis oleh kaum Melayu malah boleh dikatakan kita sebenarnya sering berperang dingin di antara satu sama lain, semangat perpaduan yang sebenarnya tampak rapuh ini masih mampu bertahan sehingga sekarang kerana kita inginkan ianya bersatu.
Walaupun kita mengalami pergolakkan dengan berlakunya peristiwa 13 Mei, tetapi sejarah hitam itu sebenarnya menjadikan Malaysia lebih kuat.
Jadi aku dengan ini menyeru agar perbezaan bangsa dan agama ini dihormati oleh penganut agama masing-masing. Berhentilah daripada bertelagah sehingga ianya meruntuhkan perpaduan yang kita cuba bina beratus tahun yang dahulu. Hentikanlah bermain sentimen politik, mencampuri urusan agama kaum lain dan memperjuangkan perkara yang melanggar perlembagaan negara. Aku tidak nampak penindasan yang berlaku ke atas kaum-kaum yang lain. Kerana di Malaysia, siapa yang rajin dan bijak, pasti dia akan berjaya. Bukan kerana dia bangsa Cina, bangsa Melayu ataupun bangsa India. Tetapi kerana dia seorang manusia.
Di Malaysia, orang yang waras takkan sanggup membakar masjid, kuil dan tokong. Tiada yang sanggup mengangkat pedang untuk bertikam hanya kerana berlainan bangsa. Malah ketika berlangsungnya perayaan, akan ada iklan yang dibuat khusus untuk meraikan kepelbagaian bangsa di kaca televisyen. Ketika Lee Chong Wei berjuang untuk mendapatkan pingat emas di Olimpik, masing-masing akan riuh bersorak di kaca televisyen. Malah Astro yang diterajui oleh Ananda Krishnan peratus orang Melayu yang menjadi pelanggan adalah tersangat tinggi.
Ketika perayaan Chap Gho Mei, solat Jumaat dan ritual pecah kelapa, jalan yang jem itu tetap dilalui tanpa banyak karenah.
Siapa yang tidak pernah makan nasi lemak, menikmati Yong Tau Foo dan melantak ayam tandoori?
Siapa yang tidak kenal akan Michele Yeoh, Najib Razak dan Sammy Vellu?
Aku sebagai bangsa Melayu percaya, bahawa Tanah Melayu ini memang sudah direncanakan oleh tuhan untuk kita jaga bersama.
Kitakan orang Malaysia

Share this :

Previous
Next Post »