Ini Luahan Mangsa Buli Cyber Di Internet - Guna Akaun Palsu Caci Maki Saya..

Buli Siber? Apa tu?
Salam semua kawan-kawanku. Ni nak cerita yang best sikit pagi Isnin ni. Alkisah, saya ni jenis tak kisah sangat soal pengikut atau followers di laman sosial. Sebab itu saya buka Instagram (IG) lebih dua tahun lalu sekadar untuk ada sahaja. 
Saya lebih dahulukan Facebook, saya senang di sini. Tetapi kawan-kawan saya kata IG lebih memudahkan kerja kami kerana banyak orang ternama popular akan post isu-isu best tentang diri mereka di situ. Itu saja. Makanya 'bersarang labah-labah' di situlah akaun IG saya sebelum ini.
Sampailah ke minggu lepas, tiba-tiba hampir 2,000 pertambahan followers saya di IG. Hmmmmm, untuk orang biasa macam kita, banyaklah tu, kan? Ini gara-gara seorang artis lelaki yang tak puas hati dengan saya punya tulisan dalam Pancaindera telah "tagged" posting dia ke akaun personal IG saya itu. Makanya dari 3000++ sahaja pengikut IG, sampai ke 5000++ dalam masa beberapa hari sahaja. Luar jangka…. Maklumlah kita orang biasa, bukan artis yang dipuja-puja peminat.
Maka berduyun-duyunlah peminat dia singgah ke IG saya dan buat komen yang macam-macam. Saya seorang yang sangat terbuka kepada kritikan. Saya juga seorang yang sangat mudah untuk meminta maaf dan memaafkan, jika saya dipihak yang salah. Bagaimana pun, melihat komen-komen tahap keterlaluan yang dibuat, sampai mempertikaikan agama, mempertikaikan rezeki orang, mempertikaikan syahadah orang, apa ni?
Saya buat sedikit selidik. Ramai yang sesuka hati keluar dengan komen kutuk, caci maki kerja kami, mereka ini jenis menggunakan akaun palsu. Ada gambar beruk, gambar cipanzi, ada gambar tengkorak kau, ada gambar burung, macam-macamlah. Kelakar sungguh. 
Mana tak kelakar, kalau ada gambar orang tu, tetapi orang itu adalah ratu cantik Venezuela ke, Ghanna ke, Ratu cantik Afrika ke, sejenis perasanlah orang macam ni. Hahaha!
Yang punya akaun palsu atau berselindung di sebalik PRIVATE akaun ni lah yang banyak guna perkataan sarkastik. Saya syak ini kerja budak-budak sekolah yang tak matang mana lagi.
Adik-adik, saya nak pesan, hati-hati buat komen. Kawan-kawan, nasihatlah kepada anak-anak kita, selalu tegur, selalu beritahu mereka. Berhati-hatilah guna hp atau guna laman sosial. Percaya tak? Kecanggihan teknologi yang ada sekarang, boleh mengesan anda dalam waktu 48 jam sahaja sebenarnya. Mudah,dan ada caranya untuk mengesan pembuli siber ni, jika sedikit usaha dibuat oleh individu itu sendiri dengan bantuan pakar-pakar.
Saya cakap begini kerana saya sendiri pernah ada pengalaman itu. Seorang saudara saya, telah difitnah, fitnah yang sangat teruk di laman sosial, beberapa tahun lalu. Kami bawa kepada pakar IT dan dalam masa tak sampai dua hari, kami boleh tahu banyak benda, siapa dalang di sebalik fitnah yang tersebar, mudah saja pun.
Berbalik kepada komen caci-maki yang saya terima itu, saya memilih untuk menegur mereka secara peribadi. Saya kesal sebab yang banyak beri respons sebegitu ialah orang kita, malah ada yang bertudung dan wanita pula. Selepas saya tinggalkan komen yang berbaur sedikit nasihat, saya terkejut. Gila terkejut!
Tiba-tiba banyak pula pemilik PRIVATE akaun sejenis halimunan ini, minta maaf kembali kepada saya. Katanya dia tak tahu bahawa 'membuli di alam siber' itu satu kesalahan. Allahuakbar! Patutlah semakin banyak orang kita berani buat posting mengarut, macam macam. Mereka tak tahu ada undang undang untuk 'pembuli siber' ni ya....
Saya petik tulisan Dr. Hargeet Kaur a/p Basant Singht dari Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam merungkaikan apa itu Buli Siber?
Buli Siber bermaksud perbuatan mengancam, memalukan atau menakutkan seseorang melalui medium elektronik seperti SMS, chatting, e-mel, laman web, telefon bimbit dan sebagainya.
YA, menghantar mesej yang menyebabkan si penerima merasa terganggu, trauma dan takut itulah Buli Siber. Gangguan seperti ini dikomunikasikan melalui e-mel. Kata Dr Hargeet Kaur, Buli siber adalah satu kejadian yang biasa berlaku dan kian meningkat. Insiden sebenar kejadian Buli Siber tidak diketahui kerana ramai mangsa Buli Siber tidak tampil untuk mendapatkan bantuan.
Jenis-jenis Buli Siber
• Mesej yang mengganggu dan mengancam.
• Menyalahgunakan kata laluan atau nama skrin orang lain atau menyamar sebagai orang lain.
• Memanjangkan e-mel, foto atau video kepada orang lain.
• Memuat naik komen atau gambar yang tidak senonoh.
• Sexting (tindakan menghantar gambar, mesej atau video berunsurkan seksual menggunakan telefon bimbit).
• Memulaukan individu tertentu daripada sesuatu kumpulan internet.
PENTING!PENTING!PENTING.
Penting untuk anda tahu bahawa sebenarnya
Perbuatan Buli Siber lebih dahsyat daripada perbuatan membuli yang lain. Ini kerana dalam dunia siber yang tidak bersempadan. Ini menyukarkan mangsa untuk melindungi diri mereka.
Pembuli Siber juga lebih mudah bersekongkol berbanding pembuli jenis lain kerana bilangan individu yang boleh turut serta tidak dihadkan dalam dunia siber. Dahsyatnya lagi, Buli Siber boleh berlaku selama-lamanya, iaitu 24 jam sehari, 7 hari seminggu dan 365 hari setahun.
Apakah kesan buli siber?
Kata Dr. Hargeet, Buli siber yang teruk atau kronik boleh menyebabkan mangsa menjadi resah, murung serta penyakit lain yang berkaitan dengan tekanan. Dalam kes tertentu, Buli Siber boleh menyebabkan mangsa membunuh diri. Buli Siber adalah salah di sisi undang-undang.
Tolong…tolong saya kawan-kawan semua. 
Kongsikan mesej ini. Hantarkan mesej ini dan kongsi dengan sekian banyak kawan-kawan kita, orang yang kita sayang. 
Anak-anak kita terutamanya….
Biarlah anak-anak kita menjadi manusia yang tahu menghormati orang lain, yang tinggi akhlak dan kuat jati dirinya. Kalau kerana seorang artis kesayangan, atau kalau kerana mahu dilihat menang dalam sesuatu isu, janganlah sampai menggunakan ayat atau perkataan yang boleh menjatuhkan dan merendahkan martabat dan nama baik diri sendiri dan ibu bapa juga.

Share this :

Previous
Next Post »