t>

Breaking News

Isu Thaqif - Ini Penjelasan Dari Madrasah Tahfiz Al-Jauhar (MTAJ).

PENCERAHAN ISU : MOHD THAQIF AMIN.
Subhanallah. Walhamdulillah. Wallahuakbar.
Dengan lafaz Basmalah, semoga Allah beri faham. 
Buat pertama kalinya tulisan ini dikeluarkan. Buat tatapan anda yang ingin mendengar atau mengetahui terlebih dahulu dari kami sebelum berkata atau mengulas mengenai isu Thaqif.
Madrasah Tahfiz Al-Jauhar ( MTAJ ) mengesahkan bahawa Madrasah ini adalah Madrasah yang diviralkan tentang Allahyarham Mohd Thaqif Amin.
Tulisan ini sama sekali tidak bertujuan untuk mengganggu siasatan atau mengulas perkara-perkara yang mungkin memberi kesan kepada siasatan pihak berkuasa.
Tulisan ini dibuat kerana setelah hampir 2 minggu MTAJ menerima kecaman, tohmahan dan ugutan, serta begitu banyak tekanan diberi tanpa sebarang jawapan. Atas rasa kebimbangan kami sekiranya tiada sebarang jawapan dari MTAJ, ia akan terus menyebabkan orang ramai tertanya-tanya dan memungkinkan fitnah berleluasa. Nauzubillah...
Berikut adalah sedikit ringkasan penjelasan. Semoga hati baik tuan-tuan, dapat menimbang seterusnya membuatkan kita lebih berhati-hati dalam percakapan ataupun tulisan. 
 

Tulisan ini tidak dapat memberi fokus yang banyak tentang sikap Allahyarham Thaqif, dakwaan penderaan, dan hal-hal yang mungkin mengganggu emosi keluarga arwah. Kerana kami sedari awal telah menjaga adab untuk sama sekali tidak mahu mengguris perasaan keluarga arwah.
1. Apa yang anda bayang tentang penderaan? Ia berlaku setiap hari, disiksa, disebat dgn getah paip tanpa pertimbangan dengan libasan sekuat hati mengikut kudrat seorang lelaki dewasa kepada seorang kanak-kanak?
Jika itu yang anda bayangkan, ia meleset sama sekali. Alhamdulillah, MTAJ dilengkapi 24 CCTV dan " program sebatan" itu masih tersimpan dan telahpun diserahkan kepada PDRM untuk siasatan. Semoga PDRM dengan profesional dapat menilai kadar sebatan tersebut samada ia boleh ditakrifkan sebagai penderaan.
2. MTAJ adalah sebuah madrasah tahfiz yang didirikan dengan bantuan ramai umat islam. Ia sama sekali tidak berteraskan keuntungan. Kerana itu, apa jua bentuk sumbangan kewangan digunakan untuk melengkapkan fasiliti agar anak-anak MTAJ dapat belajar dengan serba serbi cukup. Tidak lah mewah, tetapi terurus. MTAJ dilengkapi dengan kemudahan asas seperti asrama, ruang kelas, surau, dewan makan, gelanggang badminton, gelanggang futsal, gymnasium dan lain2 serta sistem pentadbiran yang kemas. Tidaklah mencapai ISO seperti jabatan kerajaan, tetapi kami sangat komited untuk membawa MTAJ kearah itu. MTAJ memberi penekanan pada aspek kebersihan yang maksimum, dan kawalan keselamatan serta kebajikan pelajar.
Tuan-tuan dengan niat yang baik, boleh hadir sendiri melawat keadaan MTAJ hari ini.
3. MTAJ mempunyai 17 kakitangan terdiri daripada guru-guru, warden, staf pentadbiran, pegawai multimedia, tukang masak, cleaner, dan pengurusan am, untuk mengurus 109 pelajar dari semua sudut mulai pembelajaran, kesihatan, keraian, makan minum, dan sebagainya. Ia tidak dijalankan secara sambil lewa apatah lagi untuk membiarkan penderaan berlaku.
3. Premis MTAJ ini telah pun diberi pengesahan keselamatan oleh Jabatan Bomba dan Jabatan kesihatan. Kami berdaftar dibawah Jabatan Agama Islam Johor sesuai dengan peraturan Pengawalan Sekolah Agama Islam Johor 1991. 
MTAJ telah melalui proses pendaftaran yang melayakkan madrasah ini mendapat kelulusan beroperasi selama 5 Tahun yang akan berkahir pada Disember 2021 dan Madrasah ini mendapat pengiktirafan sebagai madrasah tahfiz cemerlang peringkat Daerah Kota Tinggi serta dicalonkan untuk Anugerah Madrasah Tahfiz Cemerlang Negeri Johor. ( Boleh rujuk, Bahagian Pendidikan Islam, JAIJ)
Madrasah ini tidak didaftarkan dibawah Kementerian Pendidikan berikutan ia tidak disyaratkan. MTAJ sangat gembira untuk mendaftar dibawah kementerian apapun selagi ia boleh menambah baik sistem di MTAJ.
4. Seperti yang ditularkan dan ada didalam dada akhbar tentang luahan Arwah menggambarkan beliau sedang merasa perit semasa proses pembelajaran di MTAJ, ia agak sukar dijelaskan buat masa ini. Walaubagaimanapun, terdapat 6 keping lagi surat dari arwah yang mungkin boleh menjelaskan watak sebenar arwah yang telah pun diserahkan kepada pihak polis untuk siasatan lanjut.
Istilah yang digunakan mungkin tidak boleh menggambarkan hakikat sebenar kejadian. Sebagai contoh, bila sesorang pelajar menggambarkan dia dibuli, kita harus mendalami hakikatnya. Apakah buli yang kita faham? Untuk hal ini, kita beri ruang untuk polis jalankan siasatan.
MTAJ tidak mahu mendabik dada mengatakan tiada pelajar yang mungkin mengambil kesempatan terhadap pelajar lain, kerana ia berpotensi untuk berlaku di mana-mana sahaja pusat pengajian. Namun, dalam konteks MTAJ, ia adalah terkawal. InsyaAllah.
5. Suatu yang ramai orang persoalkan tentang pembantu Warden yang mempunyai rekod jenayah lampau.
Syafiq mengaku sendiri tentang sejarah beliau setelah diterima berkerja. Dan ia membuatkan kami memahami beliau cuba jujur untuk membaiki kehidupan.
Kerana kami maklum, syafiq telah diberi parol dan dibebaskan awal kerana berkelakuan baik. Rentetan daripada itu, kami berpendapat, andainya Pengarah Penjara mengakui beliau sedang berubah dan layak diberi kebebasan awal, apakah kami sebagai ahli masyarakat tidak boleh memberi peluang kedua untuknya.
Apakah pendirian anda semua tentang memberi peluang kepada seseorang untuk menjadi lebih baik?
Semoga kita semua terus diberi peluang untuk menjadi lebih baik dan berubah kearah yang lebih baik. Amin
6. Syafiq menjalankan tugas dengan baik dan beliau bukan seorang ustaz. Kami berani menyatakan komitmen beliau melebihi para ustaz di MTAJ kearah berubah menjadi insan yang lebih baik. Kekurangan seorang manusia tidak sepatutnya memberhentikan dia terus menjadi manusia.
Penyataan ini sama sekali tidak membela syafiq ketika beliau memilih untuk mengambil tindakan terhadap pelajar dgn menggunakan getah paip. Tetapi percayalah, ia bukan seperti yang anda gambarkan. Kami mempunyai bukti kejadian dalam rakaman CCTV. ( Telah diserah pada PDRM )
7. Terdapat banyak lagi perkara yang mungkin tidak terjawab dalam tulisan ini. Namun, anda boleh mendapatkan hasil siasatan daripada pihak yg berwajib. MTAJ telah pun memberi kerjasama penuh dalam siasatan yg dijalankan terdiri daripada JAINJ, PDRM, PPID, MAIJ, JKM, Jabatan Kesihatan dan Persatuan Institusi Tahfiz Kebangsaan ( PINTA ).
MTAJ bersama seluruh karyawan, para pelajar dan muafakat ibu bapa yang sangat mendokong kami, walaupun berasa amat sedih dengan tohmahan yang tersebar namun atas dasar kasih sesama manusia yang tidak lepas dari salah silap membuatkan kami sedar dan sentiasa memberi kemaafan. Namun begitu, secara hukumnya, perkara tidak benar yang telah tersebar oleh sesiapapun maka wajiblah ia bertaubat kepada Allah dan berusaha membaikinya.
Kami sangat mesra masyarakat. Anda dialu-alukan untuk hadir ke MTAJ untuk membuat lawatan. Doakan kami. Semoga kami dapat terus memberi manfaat.
Sekian terima kasih. 
Jemaah Pengurusan MTAJ. 
30 / 04 / 2017