t>

Breaking News

Keluarkan Islam Sebagai Agama Rasmi - Ini Kenyataan Sebenar Cadangan Kassim Ahmad.

Laporan Oleh : Malaysia Insight 

KERAJAAN tidak sepatutnya campur tangan dalam hal ehwal agama, kata sarjana Islam Kassim Ahmad memandangkan cara ia ditadbir di Malaysia kini hanya membawa kepada konflik agama. 

Kassim Ahmad - The Malaysian Insight
Terkenal dengan hujah agama yang kritikal, Kassim berkata Perlembagaan juga perlu dipinda bagi menghapuskan Islam sebagai agama persekutuan. 

Kassim bercakap daripada pengalaman. Pada Mac, Mahkamah Persekutuan sebulat suara menolak permohonan kebenaran Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) dan tiga yang lain untuk membatalkan keputusan Mahkamah Rayuan pada 2015 yang penangkapan Kassim dengan Jawi pada 2014 tidak sah. 

Perayu lain ialah menteri bertanggungjawab bagi hal ehwal Islam Jamil Khir Baharom, ketua pendakwaan syariah bagi Jawi ketika itu Ibrahim Deris dan kerajaan Malaysia. 

Jawi menyerbu rumah Kassim di Kulim dan kemudian dibawa ke Kuala Lumpur menaiki penerbangan tengah malam. Pada Mac 2015, Kassim didakwa di Mahkamah Tinggi Syariah Putrajaya kerana menghina Islam dan mengingkari pihak berkuasa agama. 

"Agama tidak ada kena mengena dengan pegawai kerajaan ... mereka hanya perlu mentadbir secara bersama dan adil," katanya yang kini berusia 83 tahun. "Kita perlu meminda Perlembagaan, agama persekutuan dalam Perlembagaan mesti dikeluarkan. 

Kerajaan mesti adil, negara tidak mempunyai agama, (hanya) rakyat mempunyai agama,” kata bekas tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) itu kepada The Malaysian Insight selepas menghadiri forum di Kuala Lumpur pada Sabtu. 

Kassim, yang dibebaskan pada 1981, menghabiskan masa hampir lima tahun di bawah ISA kerana menyuarakan pandangan politiknya. Terdahulu pada forum berkenaan, Kassim berkata agama perlu ditadbir secara autonomi penganutnya sendiri, tidak seperti situasi sekarang di mana negeri yang mengawal Islam. 

"Setiap penganut agama mempunyai kuasa autonomi, mereka perlu menguruskan diri mereka sendiri. Justeru, perkara pertama perlu dilakukan adalah Perlembagaan kita perlu secara drastik disemak semula menurut Piagam Madinah yang merupakan perlembagaan bertulis pertama. 

"Umat Islam ... mereka secara autonominya menjaga hal agama mereka sendiri, penganut Buddha menjaga agama mereka sendiri, Kristian juga menjaga agama mereka sendiri," katanya. 

Menurut beliau lagi, Piagam Madinah yang merangkumi toleransi agama, sesuai untuk masyarakat majmuk. Ia digubal oleh Nabi Muhammad semasa pemerintahan beliau di Madinah bagi mentadbir hubungan antara orang Islam dan bukan Islam. "Oleh itu, tiada konflik agama. 

Di sini anda berhadapan dengannya setiap hari. Ada yang berdemonstrasi, memberi amaran kepada Nanyang Siang Pau," kata beliau merujuk kepada bantahan ahli PAS di pejabat akhbar berbahasa Cina minggu lepas. 

Kementerian Dalam Negeri mengeluarkan surat tunjuk sebab kepada akhbar Cina itu berhubung kartun yang menggambarkan Presiden PAS Abdul Hadi Awang dan Spekar Dewan Rakyat Pandikar Amin Mulia sebagai monyet merujuk kepada pembentangan RUU355 atau pindaan kepada Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965. 

"Anda mengajar orang idea yang salah, idea yang sangat salah yang tidak sepatutnya dilakukan. Agama jelas mengatakan, berbuat baik dan dilarang berbuat salah," kata Kassim.