t>

Breaking News

Ya, Saya Lapor Polis Tetapi Untuk Lindungi Aishah Bukan Kerana Syak Dia Pengganas Kata Bapa.

Oleh : Malaysian Insight 

MENGESYAKI ada sesuatu yang tidak kena dengan anak perempuan sulung mereka, Atam Jusoh dan isteri, Saadiah Ibrahim, membuat lawatan mengejut dan membawanya pulang ke Dungun, Terengganu pada 2014. 


Gambar Oleh Malaysian Insight 

Mengimbas kembali peristiwa itu, Atam berkata mereka mendapati Siti Noor Aishah kehilangan berat badan dan berhenti makan apabila mereka membawanya pulang dari sebuah sekolah agama di Rembau. Siti Aishah, kini 29, seorang guru dan warden di sekolah itu pada 2014. 

Atam memberitahu The Malaysian Insight pada Ahad lepas, lawatan mereka adalah berikutan "maklumat" daripada seorang rakan universiti Siti Aishah yang memaklumkan anak mereka dalam "bahaya" kerana penglibatannya di dalam misi kemanusiaan ke Syria. 

Apabila kembali ke Dungun, pasangan warga emas itu membawa anak perempuan mereka ke pejabat agama Dungun kerana dia kelihatan "tertekan" dan menyangka dia mungkin dipukau. 

Bagi tempoh 2 hingga 3 bulan seterusnya, Siti Aishah ditahan pihak pejabat agama Dungun dan kemudian dikenakan dakwaan oleh Mahkamah Rendah Syariah Dungun kerana sebuah buku yang dimilikinya dan didenda RM2,000. 

Berikutan itu, Atam dan isterinya memutuskan mengambil langkah lebih drastik dengan memutuskannya dengan dunia luar dengan cara merampas telefon bimbitnya dan memutuskan sambungan Internet di rumah. 

"Di awal kepulangannya, dia menyimpan telefon bimbitnya sendiri. Dan jika ada apa-apa yang tidak difahami (daripada pembacaannya) dia akan menelefon Dr Mahmud," katanya, merujuk kepada bekas pensyarah Universiti Malaya Dr Mahmud Ahmad. 

Mahmud, yang melarikan diri ke selatan Filipina pada 2014, kini dikehendaki polis Bukit Aman kerana aktiviti berkaitan keganasan. Menurut Atam, anak perempuannya seorang yang rajin dan mesra, jarang keluar rumah. 

Siti Aishah, yang kini ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma), seorang yang pendiam dan tidak memberikan sebarang masalah semasa kanak-kanak. Dia bersekolah rendah di Dungun dan ke Sekolah Menengah Agama Sultan Ismail Dungun. 

Hanya semasa pengajian ijazah, dia meninggalkan Terengganu, selepas menamatkan kursus diploma di Universiti Sultan Zainal Abidin di Kuala Terengganu. "Dia sentiasa memberitahu dan memaklumkan kepada ibunya ke mana sahaja dia pergi," kata Atam yang berusia 61 tahun. 

"Walaupun tiba di Alor Setar pada pukul 5 pagi, dia akan menelefon ke rumah untuk memberitahu kami dia sudah sampai," kata Sadiah, mengingati semula saat apabila Siti Aishah melanjutkan pengajiannya di Kolej Universiti Insaniah di Kedah. 

Atam bagaimanapun berkata anak perempuannya tidak pernah bercerita mengenai aktivitinya di kampus, menyatakan bahawa dia sendiri tidak akan memahaminya kerana dia tidak pernah menyambung pelajaran ke universiti. 

"Saya tidak pernah melawatnya. Saya hanya menasihatkan belajar bersungguh-sungguh supaya boleh berbakti kepada masyarakat," katanya, sambil menambah kekangan kewangan antara sebab dia tidak selalu melawat anak perempuannya. 

Atam berkata pengalaman pahit keluarganya bermula pada awal 2014, apabila tiga lelaki datang ke rumah untuk meminang anak Siti Aishah. 

Dia berkata, ketiga-tiga individu berkenaan termasuk lelaki yang mahu berkahwin dengan Siti Aishah, seorang yang kasar dan berkelakuan kurang sopan semasa kunjungan ke rumahnya. 

Dia menolak peminangan mereka. "Saya menolak permintaannya kerana dia tidak datang dengan keluarga, sesuatu yang biasanya dilakukan orang Islam. Saya beritahu tidak boleh berkahwin begitu sahaja kerana terdapat banyak prosedur, tetapi dia mahu berkahwin seberapa segera mungkin. Dia tidak melihat saya semasa bercakap dengan saya," kata Atam. 

Lelaki itu memperkenalkan diri sebagai Mohd Gadafi, dari Kuala Kangsar, Perak. Selepas penolakan peminangan itu, Atam berkata dia menerima ancaman yang mengarahkannya tidak memberitahu sesiapa atau pihak berkuasa mengenai pertemuan itu, atau kehidupan mereka sekeluarga akan berada dalam bahaya. 

"Disebabkan itu, saya membuat laporan polis (pada 2014), mengenai mereka, tetapi bukan berkaitan anak perempuan saya," katanya, sambil menambah Siti Aishah bertemu Gadafi di Facebook apabila anak perempuannya mahu mencari pasangan yang sama pandangan dan pemikiran dengannya. 

Siti Aishah, ditahan kerana didakwa mempunyai 12 buku berkaitan keganasan, ditahan di bawah Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA) tahun lepas, pada hari Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur melepas dan membebaskan beliau. 

Bekas pelajar jurusan Usuluddin (Pengajian Islam) dari Universiti Malaya itu berkata, dia menggunakan semua buku itu untuk penyelidikan ijazah sarjananya. Mahkamah Tinggi mendapati tiada kes prima facie dibuktikan terhadapnya dan dibebaskan. 

Selepas penahanan POCA, Siti Aishah dijatuhi hukuman tahanan rumah, dengan peranti pengawasan elektronik (EMD) dipasang padanya sebelum ditangkap semula pada 27 Mac 2017. Hasrat Atam sekarang hanya untuk membebaskan anaknya, bagi menamatkan penderitaan mereka sekeluarga yang dialami sejak bertahun lalu. 

"Saya harap dia akan dibebaskan secepat mungkin. Ia adalah satu masa yang lama dan suatu penyeksaan bagi saya dan anak perempuan saya. Jika ini berterusan, saya tidak fikir kami boleh menghadapinya. Saya tidak mampu dari segi kewangan," katanya. 

"Saya tidak pernah menyesal dengan keputusan membuat laporan polis ketika itu. Tetapi laporan polis saya dan penangkapan pada 2016 tidak berkaitan."